Fattah Amin terus mengorak langkah dalam penghasilan muzik berkonsep ketuhanan dengan melancarkan alunan zikir sempena bulan suci Ramadan.
Lima trek istimewa itu adalah Iktiraf, Taubat Nasuha, La Hawla Wala Quwwata Illa Billah, Rabbi Yassir dan Zikir Fatimah yang diterbitkan oleh Mukmin Pro dan tersedia di aplikasi itu. Penerbitan zikir eksklusif ini adalah sebahagian daripada fokus baru Fattah Amin dalam menghasilkan lebih banyak kandungan muzik berkonsep Islamik.
“Saya cukup bersemangat untuk berkongsi lima lagu zikir ini dengan peminat dan komuniti Muslim yang lebih luas. Ia suatu penghormatan untuk melagukan zikir ini secara eksklusif di aplikasi Mukmin Pro. Moga alunan zikir ini mampu membawa ketenangan dan kedamaian kepada mereka yang mendengarnya semasa bulan Ramadan yang diberkati ini,” katanya.