Anjing peliharaan penyanyi K-Pop ini sememangnya bertuah. Baru tiga minggu dibela oleh Rose, ia menerima pula hadiah beg haiwan dan bekas makanan bernilai lebih RM15,000!
Menurut laporan WowKeren, ia merupakan pemberian sebuah jenama terkenal sempena sambutan Hari Natal buat haiwan kesayangan ahli Blackpink itu.
Rose merakamkan ucapan terima kasih di Insta Story miliknya beberapa hari lalu kepada Yves Saint Laurent di atas pemberian istimewa yang dibuat khas untuk anjingnya. Sebagi rekod, dia merupakan duta kepada jenama dari Perancis itu.
“Terima kasih Anthony dan Saint Laurent. Selamat Hari Natal untuk kamu juga, Hank,” tulisnya.
Peminat yang melihat hantaran tersebut terus membuat carian harga di laman web jenama itu dan terkejut apabila mendapat tahu nilai beg tersebut adalah RM13,200 manakala bekas makanan pula berharga RM2,800.
Awal Disember lalu, Rose memuat naik hantaran di Instagram yang menunjukkan dia kini membela seekor anak anjing dan menamakannya Hank. Kebanyakan netizen memuji tindakan Rose membela anjing terbiar, bukan membelinya di kedai haiwan.
Hank kini mempunyai akaun Instagram sendiri, @hank_says_hank dengan jumlah pengikut sebanyak 805,000.
Foto: WowKeren