Supermodel dan usahawan, Miranda Kerr mengumumkan dia kini menantikan kehadiran anak keempat pada usia 40 tahun.
Berita kehamilan itu diumumkan sendiri oleh Miranda Kerr di Snapchat Jumaat lalu menerusi sebuah video. Berlatarkan pemandangan taman menghijau, dia menayang perutnya yang membesar dalam baju singkat dan celana jeans.
“Saya amat teruja untuk mengumumkan kehamilan anak keempat,” tulisnya sebelum menambah, “Dan jantinanya lelaki.”
Miranda Kerr sudah pun memiliki tiga anak lelaki. Myles, 4 dan Hart, 5 adalah cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Evan Spiegel, ketua pegawai eksekutif Snapchat. Flynn yang kini berusia 12 tahun pula merupakan anak sulungnya dengan bekas suami, aktor Orlando Bloom.
Dalam satu lagi perkongsian, model kelahiran Australia itu berkongsi foto empat pasang kasut milik anaknya yang tersusun kemas di atas lantai kayu. Pada ruangan kasyen dia menulis, “#boymom.”
Dalam satu wawancara bersama Vogue Australia tahun lalu, Miranda Kerr bercakap tentang kehidupannya serta bagaimana dia membahagikan masa antara Los Angeles dan Australia.
“Keluarga adalah keutamaan saya. Kemudian pekerjaan, syarikat yang saya anggap seperti anak saya sendiri, dan malangnya akhir sekali barulah rakan-rakan. Namun ia tidak akan seperti ini selamanya.
“Saya suka menjadi seorang ibu dan sentiasa mahukan tiga anak lelaki. Jadi saya rasa amat bertuah kerana dikurniakan tiga anak lelaki yang sihat,” tambahnya.
Dalam temu bual lain bersama People, bekas Victoria’s Secret Angel itu juga meluahkan rasa bersyukur kerana memiliki anak-anak yang berkelakuan baik dan berbudi bahasa.