Oleh: Farhana Fuad
Gambar: MTV
Malam tadi, bertempat di Surf Beach, Sunway Lagoon berlangsungnya MTV World Stage yang dinanti-nantikan oleh sebilangan besar peminat barisan penyanyi terkenal yang beraksi termasuklah Stacy sebagai #MostWanted Act, Apink, Sekai No Owari, Carly Rae Jepsen dan Jason Derulo.
Kira-kira hampir 20,000 peminat membanjiri kawasan Surf Beach di taman tema air Sunway Lagoon semalam. Ianya dirakam secara langsung untuk siaran global. World Stage 2015 merupakan tahun ke-7 MTV membawakan bakat dari pelbagai genre dari seluruh dunia di atas satu pentas. Bahkan #worldstagemy turut menjadi trending di Malaysia dan Singapura dengan anggaran lebih 100 juta tanggapan dari media sosial mengenai acara muzik global ini.
Pembukaan malam MTV World Stage dimulakan dengan persembahan bertenaga dari penyanyi tempatan, Stacy dengan penampilan khas Altimet membawakan lagu Stacy yang kini sedang hangat, Not For Sale. Diteruskan dengan persembahan kumpulan dari Jepun, Sekai No Owari. Ianya merupakan kali pertama kumpulan Jepun ini beraksi di benua Asia Tenggara. Sekai No Owari membawa peminat ke benua lain dengan lagu ANTI-HERO, Death Disco, SOS dan Dragon Night.
Persembahan seterusnya dipersembahkan oleh kumpulan sensasi K-Pop wanita, Apink dalam gaya superstar kerana ianya merupakan kali pertama mereka beraksi untuk empat buah lagu terbarunya yang bertajuk ‘NoNoNo’, LUV, dan Remember.
Malam gemilang World Stage Malaysia semakin memuncak apabila tibanya persembahan dari Multi-platinum, Grammy Nominated penyanyi-penulis lagu, Carly Rae Jepsen beraksi buat kali pertama di hadapan peminat yang membanjiri pentas World Stage Malaysia dengan lagu ‘Run Away With Me, lagu kedua dan paling terbaru dari album terbarunya yang berjudul E-MO-TION. Mencuri perhatian peminat, Jepsen terus beraksi dengan lagu dari album terbarunya itu. Sebelum mengakhiri persembahannya, Jepsen menghadiahkan peminat dengan lagu hitnya, Call Me Maybe dan I Really Like You yang kini hangat di radio global.
Ketika hadir di sidang media, Jepsen menyatakan bahawa dia teruja untuk membuat persembahan pertama kali di Malaysia. Ditambahnya lagi, “Bagi saya setiap negara mempunyai energi yang berbeza. Tetapi saya rasakan ianya berbeza di sini yang mana energinya lebih kuat. Bahkan semalam buat pertama kalinya saya bertemu dengan peminat di sini, mereka sangat baik dan sangat menerima saya kehadiran saya di sini.”
Penampilan barisan penyanyi terakhir oleh superstar, Jason Derulo, menghangatkan kemuncak malam MTV World Stage dengan DJ Joe Murphy yang tampil bersamanya di atas pentas dengan jersi Harimau Malaya. Derulo memulakan persembahannya penuh stail dengan dibawa naik ke atas pentas melalui lif terus ke tengah-tengah pentas.
Persembahan penuh bertenaga Derulo membawakan keseluruhannya 14-track lagu medley membuatkan peminat turut menari mengikuti rentak beat lagunya bermula dengan tajuk lagu ‘In My Head’. Diteruskan dengan lagu popularnya Marry Me, Cheyenne yang juga lagunya yang dikatakan ‘penghilang stres’. Derulo turut mempersembahkan lagunya yang menjadi kegemaran global, Want To Want Me. Malam World Stage semakin hampir ke penghujungnya, Derulo mengajar sedikiti gerakan lagunya yang bertajuk ‘Pull up’ kepada peminat-peminatnya.
Ditanya oleh pihak media ketika sidang media pagi semalam, Derulo menyatakan “I prefer singing than dance.” Ditambahnya lagi, “Bagi saya menari itu sememangnya mengagumkan dan mampu menghilangkan stres melalui pergerakan, tetapi menyanyi adalah satu jalan terus dari jiwa dan ianya ikhlas hadir dari hati yang terpaut sebuah cerita disebaliknya.”
Apabila ditanya bagaimana dia boleh kekal merendah diri meskipun sudah popular di serata dunia melalui muziknya, Derulo menyatakan “Saya meletakkan keluarga itu yang pertama dan termasuklah pengawal peribadi, rakan-rakan saya yang sentiasa disamping saya. Dengan orang yang berada sentiasa di sekeliling saya, saya tidak rasa yang saya patut berubah menjadi seorang yang lain apabila saya mencipta nama besar di seluruh dunia.”
MTV World Stage Malaysia 2015 dibawakan oleh Sunway dan disokong oleh Pelancongan Malaysia. Di Malaysia, acara muzik ini dihangatkan oleh Xpax, Brickfields, Asia College, Watson Malaysia, disokong oleh rakan kongsi tempatan Astro, Hitz fm, ERA FM, MY FM dan rakan media Big Tree Outdoor, Cleo, EH!, Hype Malaysia, Selebriti Online, TimeOut KL dan majalah YG.