Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Safi
Konsert Akhir Gegar Vaganza yang berlangsung malam tadi di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil telah menyaksikan secara langsung lamaran Hairul Azreen kepada Hanis Zalikha di atas pentas. Bukan hanya penonton di dewan tersebut yang melihatnya secara langsung, malah seluruh Malaysia menerusi kaca televisyen.
Hairul dan Hanis sebelum ini pernah ditanyakan tentang soal status mereka oleh pihak media, malah memberikan jawapan sebagai teman rapat. Perhubungan mereka dikatakan sudah terjalin sejak 10 tahun lalu. Tidak disangka Hairul akan melamar Hanis di atas pentas secara langsung disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang menonton.
Momen indah itu bermula secara tiba-tiba tatkala Hairul yang turut hadir bersama penari latar persembahan kumpulan Kristal. Hanis kemudiannya dijemput ke atas pentas oleh pengacara konsert akhir malam tadi Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Hanis dikatakan sungguh terkejut dan tergamam tidak terkata dengan kejutan yang dibuat oleh Hairul. Bahkan, Hairul pada awalnya sudah menemui kedua-dua ibubapa Hanis untuk meminta restu serta keizinan untuk melamar Hanis di konsert tersebut secara terbuka dan dipersetujui oleh mereka.
Hanis dengan wajah tersipu malu membalas jawapan lamaran Hairul “InshaAllah. Thank you. Yes.” terus disorak gembira oleh penonton di dalam dewan yang menonton momen manis tersebut. Terbaru menerusi akaun laman sosial Instagram, Hanis Zalikha berkongsi kegembiraan ibunya yang turut menyukai Hairul sebagai teman hidup Hanis. Hanis turut mengucapkan tanda syukur atas segalanya serta terima kasih buat Hairul yang mendahului keluarga dalam melakukan sesuatu perkara sebegini.
Gambar: Instagram Hanis Zalikha
Namun kejutan ini telah mendapat reaksi dari pelbagai pihak terutama di laman sosial yang memberikan komen sama ada baik ataupun kurang setuju dengan lamaran kejutan yang dikatakan terlalu keBaratan dan mengenepikan adat selain ia tidak relevan untuk diketengahkan pada acara akhir sebuah pertandingan muzik.
Ramai juga yang berasakan Hanis seolah terkedu dan terpaksa memberikan jawapan secara langsung serta kejutan ini telah mencuri perhatian dan meneggelamkan acara akhir yang telah menobatkan Ayai Ilusi sebagai juara ini. Sehingga ke hari ini nama Hanis dan Hairul telah “trending” sejak malam tadi dan masih ramai yang ingin ketahui kisah lanjut pasangan ini.
Walau apapun EH! mengucapkan tahniah buat Hanis dan Hairul serta semoga bahagia ke jinjang pelamin dan seterusnya kekal selamanya.