Tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang buat masa ini, tetapi Hans Isaac hanya memerlukan khidmat nasihat dari badan guaman berkaitan dengan isu seorang lelaki dikenali sebagai Robin Coenraad yang mengaku masih lagi kekasih kepada tunang Hans iaitu Gabriella Robinson yang cuba untuk menjatuhkan maruahnya.
Kecoh di media sosial yang mana Robin memuat naik beberapa entri di Facebook menyatakan dirinya terkejut akan pengumuman media yang mengaitkan Hans dengan Gabriella yang kononnya masih lagi bergelar kekasihnya.
Semalam, Robin telah memuat naik sekeping gambar surat saman fitnah pula di laman Facebook nya yang kemudian dipadam semula.
“Tiada sebab untuk saya mengambil sebarang tindakan undang-undang sekarang. Namun, saya ada mendapatkan khidmat nasihat guaman. Cuma, pihak guaman Gabby (Gabrielle) sudah menghantar surat memohon lelaki berkenaan meminta maaf dan menurunkan kesemua paparan, komen dan gambar peribadi yang membabitkan sejarah silam Gabby di media sosial,” kata Hans menerusi kenyataan media.
Menerusi luahan perasaan Robin di Facebook, dia turut tertanya-tanya jika Hans tahu akan kewujudan dirinya sebelum dia melamar Gabriella pada bulan Januari lepas.
Hans sendiri akui yang dia sedar akan kewujudan Robin sebagai bekas kekasih kepada bakal isterinya itu beberapa bulan sebelum mereka mula rapat dan intim bersama.
Katanya lagi, dirinya dan Gabriella atau lebih senang dikenali sebagai Gabby sangat terbuka dan menerima akan sejarah silam masing-masing serta bersetuju untuk menghormati keputusan yang mereka lakukan.
“Perhubungan di antara lelaki itu dengan Gabby pada masa lalu langsung tidak ada kena-mengena dengan perhubungan saya dengan Gabby sekarang. Kita semua mempunyai sejarah hidup masing-masing yang membentuk diri kita hari ini. Saya mengenali dan menerima diri Gabby sepenuhnya sejak perhubungan kami mulai intim,” tegasnya.
Meskipun atas apa yang berlaku ini, Hans akui yang dirinya cukup teruja dalam menantikan hari bahagianya itu yang dijadualkan pada 29 Julai nanti.