Dari bilik berita berhijrah ke pentas hiburan, wanita berusia 27 tahun ini mahu meraikan dunia barunya dengan pancacorak dan warna. Tahun ini dia mahu step up the game!
Arahan Seni & Penata Gaya: KHAIRUL ABIDIN, Fotografi: EDMUND LEE, Pembantu Penyelaras: FARAH AIN, Solekan: SHENG SAW, Penata Gaya Hijab: YAYA IBRAHEM
Sentiasa menepati masa. Disiplinnya tinggi. Itu satu etika kerja yang boleh saya simpulkan tentang wanita yang punya 768 ribu pengikut di Instagram ini. Dia sangat menyenangkan, tuturnya lembut dan penuh sopan. Ke mana-mana dia ditemani teman baiknya, Najwa dan ada masa sepupunya juga ada bersama. Samalah dengan di hari penggambaran ini, mereka bertiga muncul bersama di studio. Enam jam di studio bagi tidak terasa masa berjalan kerana bersamanya seisi studio berasa nyaman dan tenang, tiada apa yang terkejar-kejar. Ikuti temubual saya bersama wajah baharu Meletop, Hawa Rizwana.
Apakah sasaran yang sudah tercapai tahun lalu?
Sejujurnya saya tak tetapkan apa-apa secara spesifik, secara amnya saya hanya mahu gembira secara mental juga emosi. Oh ya, saya memang dah lama hendak cuba kickboxing dan hajat ini tercapai tahun lalu, begitu juga dengan graduation, sudah lama tertangguh. Dan satu yang saya tak sangka saya berubah haluan, dari bilik berita ke hiburan. Ia sesuatu yang sudah lama saya nak cuba.
Dari bilik berita ke hiburan, apa yang Hawa boleh kongsikan berdasarkan pengalaman sebulan dua ini?
Penuh warna, colourful. Ia memberi ruang untuk saya tunjukkan sisi lain yang mungkin orang tak nampak bila saya membaca berita. Saya tonjolkan personaliti diri yang lebih relaks, mahu menghiburkan orang yang menonton. Bila kita berjaya membuat orang rasa terhibur, kita sendiri rasa gembira.
Meletop mengambil masa yang lama untuk mencari pengganti Neelofa, ramai selebriti diundang bergandingan dengan Nabil sebelum pencarian ini dinoktahkan dengan pemilihan Hawa. Apa rasanya apabila dalam ramai-ramai itu, Hawa yang dipilih?
Semestinya tak sangka, dan saya ambil masa untuk percaya dengan tawaran ini. Gembira semestinya tapi saya sambut kepercayaan yang diberi ini datang dengan satu tanggungjawab dan saya anggap ia satu cabaran besar. Dan mereka pilih pun bukan suka-suka, pasti ada kualiti yang mereka nampak. Jadi saya perlulah lunaskan tanggungjawab ini sepenuh hati.
Meletop sebuah program hiburan ikonik di Astro, apa yang Hawa mahu tawarkan kepada penonton sebuah rancangan yang popular dan semestinya ada pengikutnya sendiri?
Betul, Meletop itu ikonik, Nabil sendiri sudah 10 tahun mengacara rancangan ini, Kak Lofa pula lapan tahun, jadi gandingan mereka berdua memang sudah dilihat sangat serasi. Tekanan itu ada, tambahan pula ini rancangan berbentuk hiburan pertama saya. Saya melihat rancangan ini diisi dengan kisah hiburan dan seni, selain menyampaikan informasi semua yang menonton mahu terhibur. Sudah lima tahun serius menyampaikan berita jadi ini adalah satu cabaran untuk saya menarik hati orang dalam suasana dan penyampaian yang lebih santai.
Jika dulu hari-hari bekerja, sejak meninggalkan bilik berita, bagaimana Hawa mengisi masa yang ada?
Dalam lima tahun, inilah masa yang paling relaks untuk saya. Sebelum ini selain membaca berita saya juga seorang penyampai radio, mengacara Wanita Hari Ini dan Hello Doktor. Bila tiba hari yang ada satu kerja sahaja, saya anggap itulah hari cuti saya, kerana dalam masa yang sama saya juga menyambung pengajian.
Sekarang adalah transisi, yang ada masanya juga saya rasa tertekan. Bila sudah biasa sibuk dengan kerja saya bertanyakan pada diri, ‘am I not productive?, too relax? Am I being lazy’, semua itu bermain-main di kepala. Tapi jika difikir-fikir mungkin Tuhan nak saya relaks, rehat sebelum kembali sibuk. Sekarang pun saya dah secara perlahan sibuk dengan content media sosial, dalam masa yang sama lihat apa yang boleh saya perbaiki value diri, saya sibukkan diri dengan kickboxing dan aktiviti kecergasan yang lain. Bila sudah terjun ke bidang entertainment saya kena fikir hala tujunya, banyak cabang seni yang mahu dicuba.
Bagaimana Hawa membina chemistry dengan seorang yang sudah jauh pengalamannya?
Sejak buat Meletop memang ramai yang excited nak tengok gandingan saya dan Nabil sebab peminat dia ramai. Dia seorang yang sangat supportive sejak dari saya menjadi hos jemputan lagi. Dia seorang yang straightforward. Dia nasihatkan saya untuk reviu semula episod-episod yang Hawa dah buat supaya saya boleh tahu apa yang perlu saya buat lebih, apa yang perlu dikurangkan. Saya melihat Nabil mengacara Meletop sejak saya form five, jadi bila diberi peluang mengacara bersama dia, of course saya rasa takut. Tapi dia seorang yang welcoming. Dia buat untuk audiens suka saya, guest artist suka saya. Setakat ini orang melihat chemistry kami seperti seorang abang dan adik.
“Ia mendidik saya untuk jadi kental walaupun ada masanya saya hidup dengan anxiety dan uncertainty.”- Hawa Rizwana
Tadi masa kita berborak di meja mekap, Hawa kata sejak mengacara Meletop, audiens semakin luas, pengikut di Instagram juga bertambah saban minggu. Hawa selesa dengan perhatian yang diberikan masyarakat?
Sebenarnya apa yang saya rasa hari ini sama seperti yang saya rasa sewaktu mula-mula baca berita. Saya masih ingat lagi, pada awalnya saya hanya ada enam ribu pengikut saja, namun dua minggu selepas membaca berita jumlah followers cecah 80 ribu. Waktu itu saya sudah terkejut, kemudian ia naik secara perlahan, tidak mendadak. Namun bila mengacara Meletop,saban minggu pengikut bertambah, cuma perhatian kali ini datang dengan cerita lain, ada gosip, tapi saya perlu terima kerana ia memang rencah dunia hiburan. Saya mula sedar orang ambil tahu apa yang saya cakap, apa yang saya buat dan komen. Saya ambil dari sudut positif, ia mengingatkan saya untuk pandai jaga diri, fikir sebelum bertindak.
Lagi satu saya sedar, bukan mudah hendak puaskan hati orang, dan itu satu hal yang mustahil. Saya sudah dikenali sebelum ini tapi bukan dalam lapangan hiburan. Komen orang adakalanya mengguris hati sampaikan saya terfikir orang yang komen ni tak ada perempuan ke dalam ahli keluarga dia sampai boleh komen sebegitu sekali. Saya ambil pengalaman ini sebagai satu ruang untuk saya belajar, inilah yang akan membuatkan saya berkembang dan matang. Ia mendidik saya untuk jadi kental walaupun ada masanya saya hidup dengan anxiety dan uncertainty. Cakap memang mudah, tapi untuk tidak memikirkannya memang tak mudah. Selagi tak menganggu orang, menjatuhkan maruah diri dan keluarga, itu dah cukup.
What’s next?
Saya ada beberapa goals yang mahu dicapai, tapi biar saya simpan sendiri kerana takut tak tercapai. Saya mahu cuba banyak benda, menerokai benda-benda yang sebelum ini berat hati hendak saya cuba. Apa yang boleh saya kongsi saya mungkin akan mula berlakon, memandangkan saya sendiri dah masuk dunia hiburan, mengapa tidak?
Apakah benda yang Hawa buat untuk push yourself?
Jika ada benda yang membebankan kepala, saya akan kongsi dengan orang terdekat dan saya percaya seperti keluarga dan kawan rapat. Biasanya mereka akan kongsi perspektif mereka. Andai kata saya kena nangis, I will cry. Bagi saya nangis ni macam detoks. Apa saja benda yang tak kena, usah simpan nanti jadi toksik. Bagi saya normal untuk kita menangis, bila dah luah semua, esok pagi kita akan bangun dengan perasaan yang berbeza. Penting untuk kita ada support system. Ada orang bila ada masalah mereka cuba alihkannya dengan sibukkan diri, cuba untuk tak nak fikir. Tapi jika selalu begitu, simpan lama-lama takut nanti you akan burst pada masa yang tak kena.
Bagaimana Hawa bebaskan tekanan?
Kickboxing, itu antara salah satu cara yang agak berkesan untuk saya. Saya juga suka menyanyi, biasanya dalam kereta. Jika ada masa saya akan run. Saya juga menonton siri atau filem komedi.
Bagaimana untuk kekal positif?
Saya selalu dengar morning affirmation, mulakan hari dengan cara yang betul, supaya kita bersedia dengan apa-apa yang ‘tersedia’ sepanjang hari. Sebanyak mana pun perasaan kita nak stay positive tapi akan ada benda-benda yang tak best berlaku, but if you prepare, you akan laluinya dengan tenang. Kena ingatkan diri apa-apa yang kita buat adalah untuk hari mendatang. Don’t worry be happy!
Sejak mengacara rancangan berbentuk hiburan, apa sisi lain tentang diri sendiri yang Hawa mula sedari?
Saya tak sedar diri saya sebenarnya seorang yang serius. Dan orang memang melihat diri saya begitu, itu persepsi mereka. Jadi, saya mahu alihkan persepsi itu kepada sisi diri yang berbeza, saya kena let loose. Sebelum ini saya seorang yang proper tapi sebenarnya sesuailah dengan peranan saya sebagai seorang penyampai berita di TV dan radio.
Pada usia 27 tahun ini saya mahu lebih colourful, saya masih mencari diri. Lewat kebelakangan ini saya banyak buat TikTok dan Instagram live, selain mendekatkan diri dengan peminat saya juga jadikan ini sebagai satu latihan buat saya. Selain itu saya juga nak orang kenal personaliti diri saya, supaya ada connection. Macam saya sendiri, saya suka seseorang selebriti bukan kerana lagu atau filem mereka sahaja, personaliti juga satu tarikan.
“Saya hanya mahu menjadi diri sendiri sehingga satu hari nanti orang melihat saya tanpa dibayangi sesiapa, saya mahu orang lihat dan kenal saya sebagai Hawa Rizwana.”
Sebelum ini orang memang banyak mengatakan secara fizikalnya Hawa persis Neelofa, dan hari ini menggantikan tempatnya. Apa perasaan tentang hal ini?
Bagi saya itu satu cabaran tapi untuk deny apa yang orang kata saya tak boleh berbuat apa-apa kerana itu persepsi orang. Tapi saya harap pemilihan Astro untuk saya mengacarakan Meletop adalah atas faktor lain. Harapnya mereka menilai berdasarkan tiga program yang saya dah buat sebelum ini. Untuk merubah penerimaan orang itulah cabarannya kerana berpandukan komen yang saya baca mereka suka membuat perbandingan. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri sehingga satu hari nanti orang melihat saya tanpa dibayangi sesiapa, saya mahu orang lihat dan kenal saya sebagai Hawa Rizwana.
BACA: PUMA Perkenalkan Hijab Sukan Pertama, Hawa Rizwana Mencubanya Sendiri