Tahun 2024 menyaksikan kemunculan beberapa pelakon lelaki muda yang bukan sahaja mencuri tumpuan dengan wajah tampan mereka, tetapi juga dengan bakat luar biasa yang mengukir nama dalam industri hiburan.
Pelakon-pelakon lelaki muda baharu ini telah membuktikan bahawa usia muda bukan halangan untuk mencipta impak besar dalam dunia seni. Dengan kehadiran yang semakin diterima ramai dalam pelbagai produksi drama dan filem, pelakon-pelakon ini tidak hanya mencuri perhatian kerana paras rupa, tetapi juga kerana kemampuan mereka membawa watak dengan penuh penghayatan dan profesionalisme.
Sebagai generasi baharu, mereka semakin mendapat tempat di hati peminat, terutama dengan keunikan serta gaya lakonan mereka yang segar dan penuh karisma.
Dari pelakon yang baru sahaja memulakan karier mereka hingga yang sudah mula dikenali dalam beberapa drama popular, ketujuh-tujuh pelakon ini telah menunjukkan potensi besar untuk bersinar dalam industri hiburan.
Kehadiran mereka menandakan era baru bagi industri seni tanah air, berikut adalah tujuh pelakon lelaki muda yang semakin mencuri perhatian sepanjang 2024;
1. Shah Radhy
Shah Radhy adalah antara nama baharu yang semakin menjadi sebutan dalam industri hiburan Malaysia. Dengan rupa paras yang tampan dan keperibadian yang sederhana, Shah Radhy mula menceburkan diri dalam dunia seni sebagai pekerja belakang tabir sejak tujuh tahun lalu.
Usahanya itu membuahkan hasil apabila diumum Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36!
2. Sky Iskandar
Pelakon filem aksi dan kompleks yang mencabar kemampuannya sebagai pelakon, Sky Iskandar keluar dari zon selesa dan memaparkan sisi yang lebih serius serta matang, memperlihatkan bahawa dia bukan hanya bergantung kepada paras rupa, tetapi juga bakat yang tulen.
Muncul dalam filem terbaharu, ‘Kahar: Kapla High Council’ yang mula ditayangkan di pawagam 28 November lalu, Sky Iskandar membuktikan kerjaya model peralihan ke dunia lakonan – salah seorang bintang yang patut diberi perhatian di Malaysia.
3. Fadhli Masoot
Fadhli sering muncul dalam drama bersiri yang ditayangkan di saluran tempatan seperti TV3 dan Astro, malah diberikan peranan sebagai watak sampingan atau pembantu, tetapi watak tersebut tetap meninggalkan impak.
Beliau memulakan kerjaya seni selepas memenangi pertandingan Cameo Gegar 2019 yang dianjurkan oleh Astro dan radio Gegar. Dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan gelagatnya yang mencuit hati, Fadhli pernah memenangi Anugerah Teater Malaysia 2023 bagi pencalonan Pelakon Lelaki Terbaik – Kategori Teater Moden.
4. Fazziq Muqris
Seorang personaliti media sosial dan finalis Hero Remaja 2021. Beliau terkenal dengan watak ceria dan mesra yang menjadikannya mudah didekati.
Mula dikenali melalui peranannya dalam siri drama seperti Project: High Council (2023) dan filem Kahar: Kapla High Council (2024). Dalam kedua-dua produksi ini, Fazziq membawa watak Zahrin, salah seorang pelajar yang terlibat dalam konflik dan perjuangan di sebuah institusi yang penuh cabaran.
Walaupun hanya memegang watak pembantu, Fazziq berjaya menarik perhatian penonton kerana penghayatannya yang mendalam dan kehadirannya di layar.
5. Muaz Zabir
Muaz mula dikenali melalui beberapa projek drama di saluran televisyen utama, antaranya, Bukan Hanya Sekadar Cinta, Tentang Hati Dia dan terbaru Andai Tiada Dia sebagai Dr. Amir.
Salah satu projek yang melonjakkan namanya adalah apabila dia membintangi drama Tentang Hati Dia yang mendapat perhatian ramai kerana kematangannya dalam membawa watak.
6. Thompson Goh
Seorang pelakon dan pencipta kandungan yang berasal dari Kuching, Sarawak, Thompson Goh, terkenal dengan peranannya sebagai Li dalam filem Kahar Kapla High Council, sebuah prekuel kepada siri High Council. Dalam filem ini, Thompson membawa watak Penolong Ketua Pengawas yang pendiam dan misteri, yang juga mahir dalam seni pertarungan Muay Thai.
Sebelum terjun ke bidang lakonan, Thompson terkenal dengan isi kandungan TikTok bersama kucing-kucingnya, @Bulu_Goreng, serta sering berkongsi kandungan yang berkaitan dengan kehidupan seharian, kecergasan dan gaya hidup.
7. Jazmy Juma
Mula dikenali selepas menyertai pertandingan Hero Remaja pada tahun 2020, Jazmy mula memasuki dunia seni dengan lakonan dalam beberapa drama terkenal seperti Nuh & Nayla, Jangan Lupa Janji, dan Kalis Peluru.
Popularitinya terus meningkat di media sosial, di mana dia kini mempunyai lebih daripada 80,000 pengikut di TikTok dan Instagram.
Baca : #EHTOP25 Daiyan Trisha