Ibu kandung kepada anak angkat Angelina Jolie dan Brad Pitt iaitu Zahara yang kini berusia 12 tahun mahu berjumpa semula dengan anaknya dan melepaskan rindu selepas lebih 10 tahun tidak bersua.
Mentewab Dawit Lebiso yang menetap di Ethiopia bercakap dengan Daily Mail Online menerusi seorang jurubahasa yang mana dia berharap untuk berjumpa semula dengan Zahara setelah lebih dari 10 tahun tidak bertemu.
“Saya hanya mahu dia tahu yang saya masih hidup dan boleh bercakap dengannya. Saya tidak mahu mengambil dia semula tetapi saya hanya ingin menghubungi semula dengannya dan berkomunikasi dengan dia,” ujar Lebiso.
Aktres utama filem Maleficent mengambil Zahara sebagai anak angkat ketika dia berusia enam bulan. Pada ketika itu, Jolie bergelar ibu tunggal sekitar tahun 2005. Setahun selepas itu pasangannya Brad Pitt memohon untuk mengambil Zahara sebagai anak angkat secara sah di sisi undang-undang.
Lebiso tidak pernah berhenti memikirkan tentang anak perempuannya itu.
“Angelina sudah menjadi seorang ibu yang lebih lama dari saya. Dia sudah bersama dengan Zahara sejak dia bayi lagi tetapi itu tidak bermaksud yang saya tidak merinduinya. Saya merinduinya setiap masa. Saya memikirkan tentang dia setiap hari dan sudah lama saya mengimpikan untuk mendengar suaranya dan melihat wajahnya. Saya ingat hari ulang tahun kelahirannya tetapi saya sedih kerana saya tidak boleh menyambut bersamanya. Saya teringin sangat untuk meraikan hari jadinya dan hari-hari istimewa yang lain….Saya rindu untuk berhubung semula dengannya,” kata ibu kandung kepada Zahara.
Wanita puak Ethiopia itu tidak pernah menghubungi Zahara sejak dia merelakan Zahara diambil sebagai anak angkat.
Dia turut menyatakan yang mana,”Saya ingin Zahara tahu yang dia masih mempunyai ibu yang menyayanginya seperti mana Angelina. Sebelum saya mati, saya ingin dia tahu tentang saya dan dia masih ada keluarga di Ethiopia ini.”
Lebiso membuat rayuan kepada aktres filem By The Sea itu dengan menyatakan, “Saya mahu bertanya kepada Angelina untuk membenarkan saya berkomunikasi bersama Zahara. Saya merasakan yang ia tidaklah keterlaluan untuk meminta perkara sebegini.”
Namun, menurut laporan media antarabangsa, pasangan ini seakan tidak pernah mengetahui yang Lebiso sebenarnya masih hidup kerana mereka diberitahu bahawa Zahara adalah seorang anak yatim piatu ketika dia diambil sebagai anak angkat.
Pada tahun 2006, menerusi sebuah interviu bersama CNN, Jolie pernah memberitahu, “Zahara berasal dari Ethiopia, dia seorang anak yatim piatu yang mana ibu bapanya menghidap penyakit AIDS.”
Pasangan ini hanya menyedari tentang ibu kandung Zahara masih hidup setahun selepas itu iaitu pada tahun 2007.
Lebiso kemudiannya menerangkan kepada Daily Mail Online yang mana dia melahirkan seorang bayi perempuan ketika dia berusia 19 tahun dan menamakannya sebagai Yemasrech. Tidak diketahui tentang identiti bapa Zahara kerana pada ketika itu Lebiso dikatakan mangsa penderaan seksual sehingga melahirkan Zahara.
“Anak saya sakit pada saat itu dan saya terlalu lemah dan jatuh sakit setelah bersalin. Saya setuju untuk merelakan dirinya diambil sebagai anak angkat tetapi jika saya diberi peluang sekali lagi saya akan cuba menjaganya sebaik yang mungkin,” tambah Lebiso.
Walaubagaimanapun ketika Lebiso berbicara dalam sebuah interviu bersama The Mail on Sunday pada tahun 2007, dia memaklumkan yang mana dia tidak dapat menahan tekanan serta beban membesarkan anaknya itu dan kemudiannya mengambil keputusan untuk melarikan diri, meninggalkan Zahara keseorangan bersama neneknya.
Ibu kepada Lebiso cuba mencarinya selama berbulan-bulan tetapi tidak berjaya dan akhirnya menyerahkan Zahara kepada ibu bapa angkatnya iaitu Angelina Jolie dan Brad Pitt.