Di sebalik nama Neelofa, sebenarnya ada cerita yang tidak ramai tahu bagaimana ibu bapa kepada selebriti terkenal ini memilih nama tersebut.
Menurut laporan Astro Gempak, ibu kepada selebriti popular tempatan, Neelofa iaitu Noor Kartini Noor Mohamed mendedahkan yang mana nama anaknya itu diberi berdasarkan nama seorang gadis kacukan Pakistan yang ditemuinya ketika berada di sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan kira-kira 29 tahun yang lalu.
Kongsinya yang mana pada ketika mengandungkan Neelofa, Kartini telah menemani kakaknya pergi ke Hankyu Jaya di Kelantan untuk mendapatkan produk kosmetik Lancome.
“Masih saya ingat gadis itu memiliki paras rupa yang sangat cantik, menyarung jubah hitam, sniker dan tudung bawal putih. Dia menyapa saya, katanya dia kenalan kepada saudara saya. Neelofa namanya! Dari situlah saya terkenan dan saya nekad untuk menamakan bayi yang saya sedang kandung ketika itu dengan nama Neelofa. Jadi, nama Neelofa dan Lancome sendiri seperti ada jodoh yang kuat,” ujar Kartini ketika menghadiri majlis perlantikan Neelofa sebagai duta produk Lancome Malaysia yang pertama.
Neelofa telah berjaya mencatat sejarah Malaysia apabila dilantik sebagai duta Lancome. Bahkan ini juga sekaligus menjadikan Neelofa sebagai duta sulung yang berhijab buat jenama terkenal itu.