Anugerah Grammy yang berlangsung Isnin lalu menyaksikan Billie Eilish membawa pulang dua trofi kemenangan, malah turut memecah rekod.
Billie memenangi Rekod Terbaik dua tahun berturut-turut, prestasi hebat yang digelarnya sebagai sesuatu yang “sangat memalukan”.
Penyanyi dan penulis lagu berusia 19 tahun yang telah memenangi Lagu Terbaik Untuk Media Visual ketika pra-acara turut memenangi satu lagi trofi menerusi lagu Everything I Wanted. Tahun lalu, dia dianugerahkan trofi yang sama untuk lagu Bad Guy.
“Bagi saya ini sangat memalukan,” katanya ketika berucap di atas pentas di sisi abangnya, Finneas O’Connell yang merupakan penerbit dan penulis bersama lagu itu.
“Megan, saya terfikir untuk menulis ucapan tentang bagaimana anda layak mendapat anugerah ini, namun kemudian saya berkata kepada diri sendiri, ‘Tidak mungkin mereka akan memilih saya tahun ini.’ Bagi saya ia milik anda.”
Lagu hit Megan Thee Stallions, Savage yang turut menampilkan Beyonce telah pun memenangi Persembahan Rap Terbaik dan merupakan pesaing utama untuk tahun ini. Penyanyi rap dari Houston ini turut memenangi Artis Baharu Terbaik.