Genap tujuh hari dilahirkan ke dunia, pasangan selebriti Neelofa dan Haris Ismail mengumumkan nama putera kedua mereka kepada umum.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan bersama yang dimuat naik di Instagram masing-masing pada 18 Julai. Dalam perkongsian panjang lebar itu, Neelofa dan Haris Ismail memanjatkan rasa kesyukuran dan mendedahkan ilham di sebalik pilihan nama anak kedua mereka.
“Seperti mana lahirnya Muhammad Bilal, perasaan hiba dan sayang buat Abdullah Abbas juga terjalin. Nama putera kedua kami adalah Abdullah Abbas. Merujuk hadith, ‘Berilah nama dengan nama para Nabi, nama yang paling dicintai Allah adalah Abdullah, kemudian Abdurrahman’ (HR. Bukhari). Nama yang paling disukai Allah antaranya Abdullah, maka permulaan namanya (anak kedua) adalah ‘Abdullah’.
“Manakala ‘Abbas’ pula Nabi SAW sendiri pernah mendoakannya. Dan berkat doa Nabi maka taawilan Ibn Abbas walaupun pada usianya yang sangat muda ternyata dia sangat bijak. Jadi harapan Umi dan Abah adalah supaya Abdullah Abbas ini juga dipilih Allah menjadi Daie yang akan menyampaikan dakwah seluruh alam. Bahagia seorang ayah dan ibu atas kurniaan ini hanya Allah sahaja yang tahu.”