Sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, Blu Inc Media buat julung kalinya menampilkan sebuah lagu femme power anthem berserta muzik video nyanyian suara emas negara, Dayang Nurfaizah.
Berjudul ISTIMEWA, lagu hasil tulisan dan ciptaan Salammusik ini ternyata menerima sambutan baik ketika pelancarannya pada Jumaat lalu, apatah lagi pabila ia dinyanyikan pula oleh pemenang Anugerah Juara Lagu 2018 dan 2019, Dayang Nurfaizah.
Sejajar dengan objektif Blu Inc Celebrating Women, syarikat penerbitan terkenal di Malaysia ini tampil dengan karya terbaharu ini yang mana turut hadir dengan sebuah video muzik yang mempunyai mesej bahawa setiap wanita itu adalah istimewa.
Video muzik yang dihasilkan oleh Blu Inc Production itu memaparkan penyanyi untuk lagu tersebut iaitu Dayang di samping mempersembahkan barisan pengarang-pengarang majalah di bawah satu bumbung Blu Inc termasuklah EH!, GLAM, GLAM Lelaki, GLAM Deko, Jelita, Cosmopolitan, Female, CLEO, Harper's Bazaar, Her Inspirasi, Her World, Home & Decor, Icon, Malaysian Women's Weekly, Marie Claire, Nuyou, Shape dan The Peak.