Izara Aishah yang sudah berhubungan istimewa dengan anak tiri kepada Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid sejak tiga tahun lalu bakal menamatkan zaman bujang mereka sebelum hujung tahun ini.
Yang menariknya, Aidilfitri tahun ini merupakan lebaran yang terakhir buat Izara bergelar seorang gadis yang berstatus bujang.
“Seperti semua tahu, insya-Allah sebelum hujung tahun ini saya dan Adib bakal berkahwin. Cuma sebagai wanita tak manis jika saya terlalu bercerita. Kalau boleh soal perkahwinan ini keluar daripada mulut Adib,” ujar Izara kepada Harian Metro.
Pelakon terkenal yang juga pernah dinobatkan dengan kategori Selebriti Bentuk Badan Cantik di Anugerah Stail EH! sebelum ini menyatakan yang persiapan perkahwinannya itu sedang dijalankan tetapi dia tidak mahu berkongsi berita penuh terlalu awal.
“Cukup untuk saya katakan, buat masa sekarang sudah ada persiapan dijalankan. Namun, saya belum boleh berkongsi lebih lanjut. Saya pasti maklumkan kepada semua. Apa yang penting doakan segala apa yang dirancang berjalan lancar,” jelasnya lagi.