Ternyata yang lagu nyanyian Hael Husaini berjudul Jampi sememangnya berjampi setelah lagu ini berjaya dinobatkan sebagai juara di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32!

Persembahan Hael Husaini di pentas AJL32 nyata menjadi pabila lagu ciptaannya dan Ezra Kong ini berjaya membolot tempat juara di anugerah muzik berprestij ini yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Hael menerima trofi bertatahkan permata Swarovski sentuhan pereka fesyen Rizman Ruzaini, wang tunai bernilai RM50,000 serta baucar CJ WOW Shop bernilai RM10,000.
Tempat kedua dimenangi lagu Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan, dinyanyikan oleh Azmi Caliph Buskers yang mana membawa pulang trofi, wang tunai RM35,000 serta baucar CJ WOW Shop bernilai RM2,000.
Manakala lagu Tergantung Sepi ciptaan Gouffran dan Ibnu, nyanyian Haqiem Rusli berjaya meraih tempat ketiga dengan menerima wang tunai bernilai RM20,000 serta trofi dan baucar CJ WOW Shop bernilai RM2,000.
Pada malam AJL32, seluruh pelusuk Axiata Arena nyata terhibur dengan persembahan mantap bertemakan serba pahlawan Melayu dari Altimet yang membawakan lagu Amboi sekaligus berjaya meraih trofi Persembahan Terbaik yang membawa pulang trofi, baucar CJ WOW Shop bernilai RM2,000, telefon pintar Samsung S8 serta wang tunai bernilai RM12,000.

Tidak dinafikan yang vokal Dayang Nurfaizah pada persembahan AJL32 sememangnya terbaik, namun trofi Vokal Terbaik kali ini menjadi milik power duo, Syamel dan Ernie Zakri dengan lagu Aku Cinta ciptaan Syamel sepenuhnya.

Menurut ketua juri profesional, Azmeer ketika di sidang media, “Secara keseluruhannya, vokal terbaik dan perfectionist adalah Syamel dan Ernie. Saya terkejut. Tetapi bagi duo ini sangat perfect. Jika kita dengar betul-betul, vokal ini seperti akrobatik. Jadi, Dayang punya formasi hari ini the level of difficulty is less than she did in the past. She’s a very good singer, of course a perfect singer, but the level of difficulty is higher for these duo, Syamel and Ernie. Jadi markah pun ditambah dekat situ. Kiranya, dua penyanyi ini berjaya mengatasi vokal Dayang yang sememangnya mempunyai vokal terbaik.”
Syamel dan Ernie menerima wang tunai berjumlah RM12,000, trofi, baucar CJ WOW Shop bernilai RM2,000. Turut tidak ketinggalan, Khai Bahar yang membawa lagu Bayang turut menerima anugerah Penyanyi Pilihan Samsung yang memberikannya trofi serta telefon pintar Samsung A8+.
Lagu lain yang turut dipertandingkan di pentas AJL32 termasuklah Warkah Untuk Mu nyanyian Ara Johari ciptaan Hang Nadim & Laq, Menahan Rindu nyanyian Wany Hasrita ciptaan Ibnu & Gouffran, Lebih Sempurna nyanyian Syamel ciptaan Syamel, Edry Abdul Halim & Boy Anaz, Aku Yang Sebenar nyanyian Hazama The Penglipur Lara ciptaan Datuk M Nasir & Ad Samad, Akhirnya Cinta nyanyian Salma ciptaan Ajai & Slen, Separuh Mati Ku Bercinta nyanyian Dayang Nurfaizah ciptaan Ajai.