Pelakon yang mencipta nama melalui filem The Hunger Games, Jennifer Lawrence dikhabarkan tercedera di bahagian mata sewaktu menjalani penggambaran filem Netflix, Don’t Look Up.
Sumber produksi memberitahu The Boston Globe, Lawrence terkena serpihan daripada letupan efek khas di set penggambaran di Massachusetts, Amerika Syarikat.
Dilaporkan sewaktu letupan terkawal itu, sebuah tong sampah meletup menembusi tingkap dan mencederakan pelakon tersebut yang sempat menutup wajahnya menggunakan tangan.
Disebabkan insiden tersebut, penggambaran terpaksa ditangguhkan selama sehari dan Lawrence dijangka pulih dalam masa terdekat.
Penggambaran Don’t Look Up dilakukan di sekitar Boston dan dijangka akan ditayangkan pada tahun ini. Beberapa foto yang dirakam media menunjukkan Lawrence dan Leonardo DiCaprio sedang melakonkan satu babak di stesen transit Boston.
Lawrence yang tampil dengan gaya rambut bang rona merah juga dilihat memakai pelindung wajah sewaktu meninggalkan set.
Adam McKay, penulis skrip dan pengarah filem ini dikenali melalui filem-filem hebat arahannya termasuk Anchorman, Step Brothers dan Talladega Nights. Jelasnya kepada media, Don’t Look Up merupakan filem komedi yang berkisar tentang dua ahli astronomi yang cuba memberi amaran kepada dunia bahawa meteorit gergasi akan menghentam bumi dalam masa enam bulan.
Selain Lawrence dan DiCaprio, selebriti hebat lain yang turut membintangi filem ini adalah Cate Blanchett, Jonah Hill, Ariana Grande, Timothée Chalamet, Meryl Streep, dan Kid Cudi.
Foto: Vanity Fair
Baca: Dakota Johnson Alami Serangan Panik Di Set Penggambaran