Majlis perkahwinan pasangan itu diadakan di hartanah mewah bernilai RM40 juta milik Ben di Riceboro, Georgia bermula dua hari lalu dan dijangka berlangsung selama beberapa hari.
Para tetamu dilihat menyarung persalinan serba putih mengikut tema majlis termasuk rakan baik Ben, Matt Damon, Jason Mewes dan pengarah Clerks, Kevin Smith yang hadir bersama isteri masing-masing.
Jennifer tampil memukau dalam busana couture putih Ralph Lauren lengkap dengan ekor gaun dan vel sedondon, manakala Ben pula segak dalam jaket tuksedo putih yang dipadankan bersama celana dan tali leher kupu-kupu rona hitam.
Beberapa rakaman foto dari udara menunjukkan pasangan itu tersenyum gembira dan memeluk satu sama lain di atas jeti, perkarangan rumah agam dan sewaktu berjalan menuju ke altar sambil diiringi ahli keluarga.