Anggota BTS sekali lagi ‘bertarung’ dengan satu sama lain, kali ini melibatkan Jimin dan Jungkook.
Jimin melakar sejarah dalam Guinness World Record menerusi lagu dan album solo Face, sekali gus memadam rekod dunia yang dicipta Jungkook. Menurut laporan, dia menjadi artis solo K-pop terpantas meraih satu bilion strim di Spotify dalam hanya 393 hari. Ia dicatatkan pada 22 Mei 2023. Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Jungkook yang meraih kejayaan tersebut dalam masa 409 hari. Dia mencipta rekod itu dua bulan lalu dengan hanya tiga lagu, bukan melalui album solo seperti Jimin.
Album Face yang menampilkan enam lagu dimuat naik di Spotify pada 24 Mac 2022 dan menjadi pemangkin kepada lonjakan kemasyhuran Jimin. Selain itu turut menyumbang kepada popularitinya adalah lagu With You duet bersama Ha Sung Woon yang menjadi runut bunyi K-Drama, Our Blues. Ini diikuti dengan lagu kolaborasi bersama Taeyang BigBang berjudul Vibe, Set Me Free Pt. 2 dan Angel Pt. 1 (feat. Kodak Black, NLE Choppa, JVKE dan Muni Long). Selain itu lagu kedua dalam album Face, Like Crazy.
Tidak dilupakan juga lagu Promise (2018) dan Christmas Love (2020) yang dikeluarkan secara eksklusif di Soundcloud. Bagaimanapun kedua-dua lagu itu hanya tersedia secara rasmi di Spotify pada tahun ini. Dalam semua lagu nyanyian Jimin, With You menyumbang jumlah tertinggi iaitu sebanyak 230.6 juta strim manakala Like Crazy mencatat 181.4 juta strim.