Baru tiga bulan menjalin ikatan cinta, Jisoo dan Ahn Bo Hyun disahkan sudah pun membawa haluan masing-masing.
Menurut laporan Soompi, hubungan Jisoo dengan aktor See You In My 19th Life itu renggang kerana masing-masing sibuk dengan jadual kerja yang padat. Disebabkan itu mereka membuat keputusan untuk berpisah.
Konsert pemilik nama Kim Ji Soo bersama kumpulannya Blackpink, Born Pink World Tour baru saja berakhir bulan lalu. Ahn Bo Hyun pula sibuk menghadiri sesi pertemuan bersama peminat di Jepun awal bulan ini.
Agensi pengurusan Blackpink, YG Entertainment mengesahkan berita itu menerusi satu kenyataan. “Ya benar, Jisoo dan Ahn Bo Hyun bukan lagi pasangan kekasih.”
Percintaan Jisoo & Ahn Bo Hyun Berjaya Dihidu
Hubungan rahsia kedua-dua bintang itu didedahkan portal Dispatch pada Ogos lalu, sekali gus mengejutkan peminat. Malah mereka juga pernah dilihat berjalan bersama di hadapan kediaman Jisoo.
Sebelum ini penyanyi berusia 28 tahun itu becakap kepada media, “Kami berhati-hati kerana baru saja berada di fasa awal perhubungan. Kami tertarik dengan satu sama lain dan masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing.”
Berita perpisahan nyata memberi kejutan besar kepada peminat. Seorang peminat menulis, “Kenapa Ahn Bo Hyun lepaskan dia pergi? Dia seorang wanita luar biasa.” Seorang lagi menambah, “Tak mengapalah, Jisoo berhak mendapat lelaki yang jauh lebih baik.”
Peminat lain meluahkan rasa tidak percaya dengan percintaan singkat mereka. “Secepat ini? Rasanya macam baru semalam mereka bercinta.”
Baca: Akui Tidak Pernah Bercinta, Hati Jisoo Blackpink Kini Telah Dimiliki?