Lebih sedekad menceburkan diri dalam industri hiburan, Joe Flizzow terus mara ke hadapan dengan menganjurkan konsert solo pertama.
Menerusi satu sidang media, Joe Flizzow memaklumkan konsert sulungnya diberi nama ‘This Is Johan Live In Concert’. Ia akan diadakan pada 15 Julai 2023 bertempat di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor. Pemilik nama Johan Ishak itu berkata, para peminat bakal melalui pengalaman baru menerusi konsertnya. Ia tidak akan menyamai konsert-konset rap yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
“Saya janjikan satu konsert yang walaupun tempatnya besar, tetapi ia sesuatu yang agak intimate. Bukan sekadar berdiri dan menyanyi. Saya mahu berinteraksi dengan peminat dan bercerita kepada mereka,” katanya menurut laporan Xtra.
Pemuzik yang dikenali sebagai ‘Raja hip hop’ itu mahu peminat hadir, berkumpul dan menikmati ‘perjuangan’ pengkarya seni. Baginya, apa yang bakal ditampilkan dalam konsert selama dua jam itu bukanlah persembahan semata-mata.
“Saya tak mahu konsert ini hanya dikenang sebagai persembahan. Tapi di situ pencinta muzik menghargai setiap susah payah sehingga ia menang dalam ‘perjuangan’. Banyak kejutan dan kepuasan yang menanti kerana inilah konsert pertama saya sepanjang 15 tahun berada dalam industri. Datang dan rasai semangat kami yang tak pernah pudar,” katanya kepada OhMyMedia.