Joe Jonas akhirnya kembali ke dalam bidang lakonan dan terus ke layar perak!
Penyanyi Sucker, Joe Jonas telah pun menandatangi kontrak untuk menjadi sebahagian daripada filem tersebut yang akan memulakan penggambaran pada bulan hadapan di Georgia.
Dia akan membuat kemunculan hebat di samping Glem Powell, Jonathan Majors, Thomas Sadoski, Nick Hargrove dan pelakon wanita utama, Christina Jackson. Daren Kagasoff dan Spencer Neville akan turut membintangi filem ini.
Devotion yang bakal diarahkan oleh J.D. Dillard dengan skrip oleh Jane Crane dan Jonathan A. Stewart berkisar tentang kisah benar dua juruterbang pejuang Tentera Laut Amerika Syarikat, Jesse LeRoy Brown (Majors) dan Tom Hudner (Powell) yang datang dari dunia berbeza.
Mereka dipasangkan bersama ke dalam skuadron VF-32 dan ditugaskan untuk menerbangkan jet pejuang rekaan baharu. Persahabatan mereka kemudian diuji apabila salah seorang daripada mereka ditembak di belakang garisan musuh. Joe Jonas akan memegang watak sebagai Marty Goode, salah seorang ahli skuadron 32.
Penyanyi tersebut berkongsi keterujaannya mengenai filem itu di Instagram beberapa hari lalu.
“Ayuh lakukannya! Tidak sabar rasanya untuk memulakam penggambaran Devotion,” tulisnya di kapsyen.
Filem yang diterbitkan oleh Molly Smith, Thad Luckinbill dan Trent Luckinbill melalui Black Label Media ini juga akan menandakan kemunculan dramatik penyanyi tersebut di layar perak. Joe Jonas sebelum ini membintangi filem Camp Rock pada 2008 dan menjadi pelakon jemputan dalam siri televisyen, Angie Tribeca pada 2016.
Foto: Jeff Kravitz/Filmmagic for HBO/Getty Images
Baca: Selena Gomez Muncul Dengan Lagu Bahasa Sepanyol, De Una Vez