Selepas beberapa tahun perjalanan kerjayanya terganggu, Johnny Depp bakal membuat kemunculan semula di layar perak menerusi filem Jeanne Du Barry.
Dalam filem biografi Perancis itu, Johnny Depp menggalas watak Raja Louis XV di samping aktres dan pengarah, Maiwenn Le Besco yang memainkan peranan sebagai Jeanne Vaubernier. Treler pertama filem Jeanne Du Barry telah pun dikongsikan di internet baru-baru ini.
Video itu dimulakan dengan aksi Jeanne Vaubernie cuba menarik perhatian tetamu di sebuah parti. Dia kemudian membuat penampilan memukau di Istana Versailles selepas munculnya cerita bahawa suaminya berhasrat mahu ‘menghadiahkan’ dirinya kepada Raja Louis XV. Selepas diarahkan untuk tidak memandang tepat ke arah Raja, Jeanne Vaubernie dengan sengaja berbuat demikian atas satu tujuan. Dia tahu ia adalah satu ‘jemputan’ untuk hubungan ranjang.
Niatnya untuk menggoda Raja Louis XV berjaya kerana raja Perancis itu kemudiannya tergila-gilakannya dengan sepenuh hati. Babak seterusnya menunjukkan semua kerabat Diraja termasuk penasihat dan puteri-puterinya menyatakan rasa tidak setuju terhadap perhubungan terlarang mereka. Tanpa mengendahkan nasihat, Raja Louis XV meneruskan hubungan itu, menyaksikan nafsu bertukar menjadi skandal.