Walau kemunculannya di Festival Filem Cannes mendapat kecaman, Johnny Depp mencipta sejarah apabila menerima tepukan gemuruh selama tujuh minit.
Selepas tamat tayangan perdana Jeanne Du Barry, Johnny Depp dilihat beremosi apabila penonton bersorak atas kejayaannya membawakan watak Raja Louis XV. Aktor berusia 60 tahun itu menahan sebak sambil melambai tangannya dari balkoni di Grand Théâtre Lumière kepada penonton yang memberi sokongan padu kepadanya.
Maiwenn, pengarah selaku gundek Raja Louis XV dalam filem biografi Perancis itu dilapor menitiskan air mata ketika memberikan ucapan. “Saya mahu berkongsi detik ini bersama kekasih saya, penerbit saya, Le Pacte (pengedar filem). Ia adalah produksi yang sukar dibiayai. Dan saya ingin berkongsi momen ini dengan semua pasukan saya di seluruh teater.”
Walaupun ratusan peminat hadir ke festival filem itu untuk memberi sokongan dan mendapatkan tandatangan Johnny Depp, bukan semua orang menyenangi kehadirannya. Festival Filem Cannes 2023 menandakan penampilan karpet merah pertamanya selepas memenangi kes saman fitnah terhadap bekas isteri, Amber Heard.
Majoriti juri memihak kepada Johnny Depp dalam perbicaraan itu, bagaimanapun masih ada yang menyokong Amber Heard secara terbuka. Salah seorang adalah kawan rapat aktres itu, wartawan Eve Barlow yang kini tinggal bersamanya di Sepanyol. Dia mengkritik penganjur festival filem itu kerana “mencipta sejarah menyokong perogol dan kaki dera,” sambil menambah, “#CannesYouNot”.