Selepas debut solo Seven Julai lalu, peminat semakin teruja apabila Jungkook mengeluarkan sebuah lagi lagu berjudul 3D.
Lagu pop duet bersama penyanyi rap Jack Harlow itu dilancarkan pada 29 September lalu menerusi Big Hit Music. 3D dengan pantas mengungguli carta iTunes, YouTube dan Spotify di lebih 100 negara.
Ia memecah rekod dengan menduduki tangga pertama dalam carta Daily Digital Single Ranking Oricon di Jepun. Ia turut meraih penstriman tinggi sekali gus meletakkannya pada kedudukan ketiga dalam carta Daily Top Song Global Spotify selama dua hari berturut-turut.
Sama seperti Seven, 3D menampilkan keseluruhan lirik dalam bahasa Inggeris. Lagu ini juga mempunyai vibe awal tahun 2000-an.
“Ketika mula menghasilkan lagu ini, saya dapat rasa ia pasti akan menarik perhatian mereka yang meminati muzik tahun 2000-an. Ia mempunyai sentuhan nostalgia,” kata Jungkook.
3D Unik Dalam Pelbagai Versi
Selepas tiga hari 3D menemui peminat, penyanyi berusia 26 tahun itu memuat naik empat versi berbeza di YouTube dan Spotify. Ia dilancarkan menerusi 3D: The Remixes, album kolaborasinya bersama Jack Harlow.
Album berdurasi 22 minit itu menampilkan tujuh lagu 3D termasuk Clean Ver., A. G. Cook Remix, Sped Up dan Slowed Down. Tiga lagi adalah lagu asal, Instrumental dan Alternate Ver.
Susulan pelancaran lagu keduanya ini, Jungkook berkongsi video latihan tarian yang memperlihatkan dia berdansa di samping kru koreografi terkenal, Jam Republic.