Justin Bieber terus mengembangkan jenama fesyen SKYLRK ke tahap yang lebih besar.
Selepas memperkenalkan jenama itu menerusi pelbagai koleksi pakaian, kasut dan aksesori, penyanyi sensasi, Justin Bieber kini memberi bayangan bahawa SKYLRK bakal meneroka kategori baharu menerusi rangkaian produk audio.
Beberapa imej awal telah mula tular di media sosial, memaparkan prototaip pembesar suara dan fon kepala over-ear yang hadir dalam pilihan warna berani serta kemasan lut sinar yang unik. Rekaan ini mengekalkan identiti futuristik yang menjadi DNA SKYLRK sejak awal penubuhannya, dengan bentuk organik dan kemasan bertenaga yang jelas berbeza daripada pendekatan minimalis yang kini mendominasi kebanyakan jenama teknologi.
Teaser terbaharu ini turut menambah senarai panjang konsep produk yang pernah dipratonton Bieber sejak pelancaran SKYLRK. Sebelum ini, peminat telah melihat pelbagai idea kreatif termasuk kasut eksperimental, kaca mata, barangan kediaman serta aksesori berinspirasikan teknologi. Ia sekali gus memberi gambaran bahawa visi jangka panjang SKYLRK jauh melangkaui sebuah label fesyen jalanan biasa.
Buat masa ini, SKYLRK Audio masih berada pada fasa teaser dan belum ada sebarang maklumat rasmi mengenai tarikh pelancaran mahupun spesifikasi teknikal produk yang didedahkan. Namun, kemunculan prototaip-prototaip ini menunjukkan proses pembangunan sedang berjalan lancar, dan berdasarkan aktiviti terkini jenama tersebut, pelancaran rasmi mungkin hanya menunggu masa.
Baca: Supportive Wife! Hailey Bieber Setia di Sisi Justin Bieber Semasa Coachella















