Justin Bieber melengkapkan barisan artis bertaraf dunia yang bakal menghiburkan penonton dalam persembahan separuh masa pertama dalam sejarah final Piala Dunia FIFA.
Pentas final Piala Dunia FIFA 2026 bakal mencipta sejarah apabila buat julung kalinya menampilkan persembahan separuh masa ala Super Bowl, dengan barisan artis bertaraf dunia yang pasti menghangatkan Stadium MetLife, New York pada 19 Julai.
Terbaharu, Justin Bieber diumumkan sebagai antara penghibur yang akan memeriahkan persembahan bersejarah itu, bergandingan bersama Madonna, Shakira serta kumpulan sensasi K-pop, BTS.

Selain empat nama besar tersebut, persembahan berdurasi 11 minit itu turut menampilkan Burna Boy, konduktor terkenal Gustavo Dudamel, PS22 Chorus bersama Coldplay, serta watak ikonik Sesame Street. Acara istimewa ini dianjurkan bagi menyokong FIFA Global Citizen Education Fund, sebuah inisiatif yang menyasarkan kutipan dana sebanyak AS$100 juta untuk memperluaskan akses pendidikan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.
“Piala Dunia FIFA menyatukan seluruh dunia dengan cara yang tiada acara lain mampu lakukan,” kongsi Justin Bieber.
Kemunculan ini juga menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan kerjaya Bieber selepas kembali ke pentas menerusi persembahan nostalgia di Festival Coachella awal tahun ini. Ia merupakan persembahan berskala besar pertamanya dalam tempoh empat tahun selepas membatalkan jelajah dunia Justice World Tour susulan masalah kesihatan.

Pada konsert tersebut, penyanyi berusia 32 tahun itu mengimbau era kegemilangannya dengan mendendangkan lagu-lagu hit seperti Baby, Never Say Never, One Time dan Beauty and the Beat, sekali gus mengubat kerinduan peminat.
Persembahan separuh masa final Piala Dunia ini dikendalikan oleh vokalis Coldplay, Chris Martin, yang bertindak sebagai kurator kreatif bagi memastikan acara sulung ini menjadi antara momen paling ikonik dalam sejarah kejohanan.

Dalam masa sama, Shakira dan Burna Boy turut kembali membuat persembahan selepas memeriahkan majlis pembukaan kejohanan di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Lagu kolaborasi mereka, Dai Dai, terus menguasai carta muzik antarabangsa dan menjadi lagu rasmi tidak rasmi yang sering berkumandang sepanjang kejohanan berlangsung.
Baca: Line-Up Paling Ikonik! Madonna, Shakira & BTS Bakal Kuasai Pentas FIFA World Cup Final
