Tahniah buat bekas ahli kumpulan NSYNC, Justin dan isteri, Jessica Biel di atas kelahiran anak kedua. Kini, mereka mendedahkan rahsia yang selama ini tersimpan rapi.
Julai tahun lalu, tersebar berita yang mengatakan pasangan ini sudah pun menimang cahaya mata kedua daripada mulut penyanyi Brian McKnight, disusuli petunjuk daripada bekas ahli NSYNC, Lance Bass pada bulan September. Namun tiada pengumuman rasmi daripada Justin dan Jessica sendiri.
Namun dua hari lalu, Justin mendedahkan sendiri perihal anak keduanya ketika membuat penampilan maya dalam The Ellen DeGeneres Show dari sofa empuk di kediamannya.
Sebelum sempat Justin bercerita lanjut mengenai kerjayanya, Ellen DeGeneres terlebih dahulu bertanya mengenai kehadiran cahaya mata terbaharunya. Sudah tiba masa untuk Justin berkongsi.
“Namanya Phineas, dia cukup hebat dan comel, dan tiada sesiapa pun di rumah yang dapat tidur. Namun kami teruja dan bahagia. Sangat bersyukur,” jelasnya.
Apabila disoal mengenai perasaannya setelah memiliki dua anak, termasuk Silas yang berusia lima tahun, penyanyi Cry Me A River ini sempat berjenaka.
“Saya dan Jessica tidak sempat bertemu muka. Ia menyeronokkan, tapi kamu bergerak dari zon pertahanan ke man-to-man dengan sangat pantas. Seperti, ‘Okey, kamu ambil anak itu, saya uruskan anak ini!’”
Bercakap mengenai Silas, Justin berkata anak sulungnya nampak teruja tentang peranan baharu sebagai pelindung kepada adiknya.
“Silas sangat gembira. Buat masa sekarang, dia menikmatinya. Phin masih belum boleh berjalan atau bermain kejar-kejar, jadi saya pun tidak tahu. Kita tengoklah apa yang akan berlaku di masa hadapan.”
Anda boleh menonton temu bual tersebut di bawah ini.
Foto: Jeff Kravitz/FilmMagic