Bulan ini genap setahun Kim Kardashian menfailkan perceraian terhadap suaminya, Kanye West.
Walau Kim telah membuka buku cinta baharu bersama bintang Saturday Night Live, Pete Davidson, Kanye tidak henti-henti mencuba nasib untuk menarik pengasas Skims itu kembali ke dalam dakapannya.
Sempena sambutan Hari Kekasih dua hari lalu, pelantun Stronger itu dilihat cuba menawan kembali hati isterinya dengan menghantar hadiah romantis: Sebuah trak dipenuhi jambangan bunga mawar berserta mesej, “My vision is krystal klear.”
Kanye berkongsi foto jambangan bunga itu di Instagram bersama 13.3 juta pengikutnya dan meletakkan tag nama isterinya pada hantaran tersebut. Dalam pada itu Kim dilihat meluangkan Hari Kekasih bersama Pete dengan menikmati malam romantis di Lilia, sebuah restoran Itali di Brooklyn.