Hubungan antara bintang pop, Katy Perry dan bekas Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau kini menjadi perbualan hangat di seluruh dunia.
Desas-desus kini semakin jelas apabila pasangan ini dilihat bermesra di atas kapal mewah milik Katy Perry di perairan Santa Barbara, California. Imej mereka yang tersebar luas di media hiburan memperlihatkan suasana penuh romantik, seolah-olah mengesahkan gosip yang selama ini berlegar di kalangan peminat dan pemerhati dunia hiburan.
Justin Trudeau, cinta baharu Katy Perry selepas menamatkan hubungan selama 18 tahun bersama Orlando Bloom.
Segalanya bermula sekitar Julai lalu apabila Katy Perry dan Justin Trudeau dilihat menikmati makan malam bersama di sebuah restoran eksklusif di Montreal.
Pertemuan mereka disusuli dengan satu sesi berjalan santai di Mount Royal Park, dan tidak lama kemudian, Trudeau turut dilihat hadir ke konsert Perry sempena jelajah “Lifetimes Tour” di Kanada.
Saat itu, khabar angin tentang hubungan istimewa antara mereka mula bertiup kencang, namun kedua-duanya memilih untuk berdiam diri.
Dalam gambar yang dirakam oleh paparazi, Perry kelihatan anggun mengenakan pakaian renang hitam, sementara Trudeau tampil santai tanpa baju dan hanya berseluar jeans.
Mereka berpelukan mesra di atas dek kapal, saling berpandangan penuh kasih dan dalam beberapa detik, kelihatan berkongsi ciuman romantik yang mengundang pelbagai reaksi daripada peminat di seluruh dunia.
Baik Perry mahupun Trudeau, kedua-duanya kini berada dalam fasa baharu kehidupan peribadi. Perry baru sahaja menamatkan pertunangannya dengan pelakon terkenal Orlando Bloom pada Jun lalu dan mereka turut dikurniakan seorang anak perempuan.
Sementara itu, Trudeau berpisah dengan isterinya, Sophie Grégoire, pada tahun 2023 selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga orang anak.
Walaupun foto-foto yang tersebar kelihatan cukup mesra untuk mengesahkan hubungan mereka, kedua-dua pihak masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.