Menakjubkan. Itulah perkataan yang menggambarkan Future Music Festival Asia (FMFA) pada tahun ini. Acara yang boleh dilihat sebagai medium untuk menyatukan pelbagai bangsa dan kaum di bawah satu bumbung ini sememangnya menjadi di antara acara yang paling ditunggu-tunggu setelah kejayaannya pada tahun lepas. Dan pada tahun ini, melihat kepada kehebatan barisan penghibur yang membuat persembahan, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia.
Gambar: facebook FMFA
SONGLAP GEMILANG DI LAYAR ANTARABANGSA >>
Acara yang diadakan selama dua hari ini mempunyai empat pentas yang menjalankan persembahan secara serentak oleh para penghibur dari dalam dan luar negara yang mempunyai pengikut mereka tersendiri. Walaupun persembahan Rita Ora dicacatkan dengan masalah teknikal audio, namun, dia tidak menghampakan para peminatnya dengan persembahan yang begitu bertenaga. Pada kali ini, kami dapat saksikan warga emas yang turut membanjiri festival urban ini. Apabila ditanya, rata-rata ingin turut serta ber-Gangnam Style bersama Psy. Kami dapat lihat ramai yang beredar setelah Psy menghabiskan persembahannya. Begitu kuat sekali aura penghibur daripada Korea Selatan ini.
FUTURE MUSIC FESTIVAL ASIA MENGGEGAR LAGI >>
Bagi yang gemarkan persembahan muzik sebenar seperti kami, Temper Trap, Fun dan Bloc Party sememangnya di nanti-nanti. Muzik mereka yang segar, lain dari yang lain dan persembahan live yang mantap membuatkan ramai yang sanggup menunggu walaupun persembahan mereka tidak bermula tepat pada waktu yang dijadualkan. Turut menjadi sebutan ramai adalah persembahan bertenaga oleh The Prodigy.
Gambar: facebook FMFA
Penghibur daripada Malaysia tidak menghampakan dan kami merasakan persembahan daripada Kyoto Protocol sangat-sangat menghiburkan dan setanding dengan persembahan kumpulan muzik antarabangsa. Mereka pandai memancing penonton dengan membawa dua penari yang berpakaian seperti ‘catwoman’ ketika membawakan lagu Pussycat. Arabyrd seperti biasa lincah di pentas membantu penonton warm up untuk persembahan seterusnya di malam hari.
Gambar: facebook FMFA
BUNOHAN TERSENARAI DI DALAM OSCAR >>
Kami dapat saksikan ramai penonton daripada Australia, Singapura dan Indonesia turut hadir memeriahkan FMFA tahun ini dan tidak mustahil acara seperti ini boleh menjadi daya tarikan utama pelancong luar untuk datang ke Malaysia. Diharap, FMFA akan menjadi acara wajib tahunan seperti Big Day Out dan Laneway Festival.
Gambar: facebook FMFA