Setelah selamat bergelar suami isteri pada 9 November lalu, Mawar Rashid dan Raf Yaakob rai perkahwinan dalam sebuah majlis resepsi yang cukup indah.
Majlis perkahwinan pasangan ini bertemakan Enchanted Garden yang mana didekorasikan oleh perancang perkahwinan terkenal tempatan, Glamweddings by Rizalman.
Nyata yang Mawar dan Raf tampil serba indah pada malam tersebut seakan Cinderella dan putera idamannya. Mawar dan Raf mengenakan busana berona dusty blue rekaan Cosry.
Pada malam tersebut, bukan hanya persembahan tarian dari Mawar buat suaminya sahaja yang mencuri tumpuan ramai, malah juga kek perkahwinan mereka yang berketinggian 13 kaki menjadikannya sebagai kek perkahwinan tertinggi di Malaysia dan diletakkan di atas lampu chandelier yang digantungkan di hadapan 600 orang tetamu.
Kek tersebut dinamakan Enchanted Rose yang mana setiap lapisan bertatahkan batu kristal Swarovski yang dibuat oleh Ketua Pereka Kek SukaSucre Bistro, Azrene.
Ia dihiasi 7,777 biji batu kristal yang mana cukup berkilau dan menjadi tumpuan ramai. Majlis perkahwinan pasangan itu diadakan di majlis tertutup yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.