Apabila saya diberi peluang untuk menemu ramah Elfira Loy, saya kagumi semangat beliau di sebalik sisi lembut dan penuh kasih sayang sebagai ibu dan isteri. El teguh memperkasakan wanita dalam dunia keibuan dan hiburan, mencabar wanita untuk melakukan lebih dari kemampuan mereka.
Gemuruh apabila saya ingin mengajak Elfira Loy ke sofa untuk merekod temubual secara langsung, yang ketika itu El sedang larut berbual bersama Sharifah Rose. Selain keningnya yang menjadi idaman kecantikan wanita, saya terpegun apabila El membalas dengan senyuman mesra, manis dan terus bersedia ingin ditemubual.
Keperibadiannya yang tenang, rendah diri dan sangat menyenangkan, membuatkan wanita berusia 31 tahun ini tetap bersinar dengan caranya yang tersendiri.
Pada usia 31 tahun, El atau nama penuhnya Nur Elfira Loy Ahmad Sabri berkongsi tumpuan utama El kini bukan lagi kepada dunia hiburan semata-mata, tetapi lebih kepada keluarga iaitu membesarkan anak-anak dan menjalani rutin sebagai seorang ibu dengan sepenuh hati.
Isteri kepada Faris Khairul Anuar dan ibu kepada dua cahaya mata comel, Muhamad Rayyan Khalaf yang lahir pada 1 Oktober 2019, dan adiknya, Nur Aria Mikayla yang dilahirkan pada 20 Mei 2022, El sambung dengan penuh semangat hanya menyebut satu nama, Wardah jika tentang kerjaya.
“Sudah dua tahun saya bekerjasama dengan jenama kecantikan ini. Peluang emas ini bukan sahaja tentang menjadi wajah kempen, malah menyampaikan mesej dan menjadi seorang wanita yang ingin memperkasakan satu sama lain.”
Ketika menyertai lawatan ke makmal Wardah di ibu pejabat mereka, ParagonCorp di Jakarta, El berkongsi “Saya sukakan suasana ofis mereka,” ujar Elfira dengan penuh kagum. “Berpaksikan konsep terbuka, ceria, penuh motivasi dan sangat erat silaturahim. Apabila mereka berkongsi tentang goals, values dan pemerkasaan wanita, saya terus rasa tersentuh. Saya tersedar yang dalam diri saya masih ada sesuatu yang belum ‘terbangun’. Saya nak tinggalkan sesuatu untuk dunia. Bila saya tiada nanti, orang ingat saya melalui perkara itu. Wardah somehow move me!”
Jika anda boleh berbual dengan diri El ketika baru mula berkecimpung dalam industri ini, apakah nasihat yang El akan beri?
Mungkin saya akan katakan bahawa perjalanan ini memang akan mencabar. Sebab itulah perlu kuatkan diri, persiapkan mental dan emosi dan bina jati diri yang kukuh. Perlu teguh dengan pendirian dan prinsip kerana godaannya memang banyak. Jadi, kekalkan pendirian itu, dan percayalah bahawa apa yang anda lakukan sekarang adalah tepat. Saya juga ingin membawa keluarga bersama, terutamanya ibu, ke mana sahaja saya pergi. Kehadiran mereka sebenarnya banyak menyelamatkan anda daripada pelbagai masalah.
Apakah momen paling ‘main character’ yang pernah El alami dalam hidup?
Saya rasa momen paling ‘main character’ dalam hidup saya adalah apabila saya menerima jemputan dari Kementerian Media Arab Saudi untuk menunaikan haji. Ia merupakan sesuatu yang langsung tidak saya jangka akan berlaku dalam hidup. Ia satu anugerah daripada Allah yang sangat besar buat saya. Sampai ke hari ini pun, saya masih rasa seperti tidak percaya bahawa perkara itu benar-benar berlaku kepada saya.
Apakah satu perkara tentang diri El yang paling banyak berubah sejak kecil hingga sekarang?
Sejak kecil, saya memang suka memendam perasaan. Tapi sekarang, saya cuba perlahan-lahan untuk lebih terbuka dan meluahkan apa yang saya rasa. Masih susah, tapi ada perkembangan… perlahan-lahan, ada perubahan. Saya rasa ramai juga yang boleh relate, terutamanya jika anda adalah anak sulung. Kita terbiasa menanggung banyak perkara, sampai perasaan sendiri sering diketepikan. Tapi bila kita makin dewasa dan jumpa orang yang boleh mendengar, menerima serta mengiktiraf apa yang kita rasa, barulah kita sedar pentingnya untuk luahkan. Dan saya rasa, itulah perubahan paling besar dalam diri saya.
Bagaimana El menghadapi ketidakpastian dalam hidup?
Saya belajar untuk sentiasa ingatkan diri; ‘Let go and let God’. Apa pun yang berlaku, kalau ia tidak berjalan seperti yang saya harapkan, saya perlu belajar melepaskan dan percaya bahawa Allah akan berikan yang terbaik. Mungkin bukan mengikut cara kita, tapi tetap yang terbaik untuk kita dan itu sudah cukup.
Apa yang mendorong ElStart slideshow untuk terus maju walaupun menghadapi cabaran?
Saya rasa keluarga saya adalah sumber kekuatan utama saya. Mempunyai keluarga yang baik, yang sentiasa menyokong saya dalam apa jua keadaan, adalah satu nikmat yang paling besar dalam hidup saya. Mereka menjadi sebab utama saya terus melangkah ke hadapan, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Apakah ada momen tertentu di mana El rasa paling bebas dan yakin dengan diri anda?
Apabila berada di rumah sendiri, ada banyak komitmen yang perlu dipikul sebagai seorang isteri dan juga sebagai seorang ibu. Tapi setiap kali saya pulang ke rumah ibu saya, saya rasa seperti kembali menjadi kanak-kanak riang. Saya rasa bebas dan boleh minta pertolongan apabila diperlukan. Di rumah sendiri, kadang-kadang semuanya kena buat sendiri. Tapi bila saya kembali ke rumah mak, saya rasa seperti seorang anak semula. Dan bagi saya, itu adalah momen paling indah.
Siapakah wanita yang paling memberi inspirasi dalam hidup El, dan mengapa?
Saya rasa, wanita yang paling memberi inspirasi dalam hidup saya adalah ibu saya. Tiada siapa yang sehebat dan sekuat beliau. Sejak saya kecil, ibu sanggup lakukan apa sahaja demi memastikan kami gembira dan mendapat apa yang kami perlukan. Dia tidak pernah kenal erti penat, tak pernah lihat dia mengeluh atau berhenti. Setiap hari, ada sahaja yang dia lakukan, semuanya demi anak-anak. Dan dari keikhlasan serta ketabahan itulah, saya mendapat kekuatan dan inspirasi terbesar dalam hidup saya.
Menurut pandangan El, apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh wanita dalam kerjaya dan kehidupan seharian, dan bagaimana kita boleh mengatasi cabaran ini?
Mungkin jawapan saya akan lebih tertumpu kepada isu pemerkasaan wanita dan bagaimana kita mencari tempat dalam dunia ini. Tapi selepas saya berkahwin, perspektif saya berubah. Saya mula melihat bahawa cabaran terbesar bagi seorang wanita adalah bagaimana untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, dua peranan yang sangat besar dan penting.
Dalam masa yang sama, bagaimana pula kalau kita masih ada cita-cita dan matlamat peribadi yang ingin dicapai? Di situlah terletaknya cabaran sebenar. Ramai wanita yang pernah berkerjaya, selepas berkahwin terpaksa berkorban dan meletakkan impian mereka ke tepi dan itu sesuatu yang saya sendiri sedang lalui. Ia memang memenatkan, tapi rasa puas dan bahagia bila kita berjaya mengimbangi kedua-duanya adalah sesuatu yang tidak ternilai.
Bagaimana El menyokong sesama wanita, sama ada melalui kerjaya atau dalam kehidupan peribadi?
Bagi saya, sesiapa sahaja yang menghulurkan tangan atau ingin berkongsi sesuatu, saya akan buka ruang itu untuk mereka. Sebab itu sekarang, setiap hari Selasa saya adakan kelas usrah. Kelas ini bukan sekadar untuk belajar Al-Quran, tetapi juga menjadi ruang untuk kita saling mengenali, menyokong dan menguatkan antara satu sama lain. Saya jemput orang yang saya tak kenal, terutamanya ibu-ibu yang ada masa terluang.
Selalunya, kelas sebegini, ibu-ibu lah yang paling perlukan sokongan. Dan kekuatan itu, saya percaya, datang daripada apa yang kita yakini — iaitu daripada Al-Quran dan Allah. Bila saya tengok ramai ibu-ibu gembira bila hadir kelas ini, ia buat saya pun rasa gembira. Saya harap ruang seperti ini akan terus berkembang, walaupun bukan saya yang anjurkan. Saya ingin lihat ia ada di mana-mana, di acara, di masjid membuka ruang untuk wanita berkumpul, belajar dan saling menyokong.
Sebagai wanita, saya percaya kita juga perlukan tempat untuk merasa diri kita cukup, tanpa perlu jadi orang lain. Kita tak perlu ‘memainkan watak’ lelaki untuk rasa kuat, dan tak perlu menafikan sisi kewanitaan kita untuk dianggap hebat. Kekuatan wanita itu ada pada kelembutan dan ketabahannya sendiri.
Sebagai seorang selebriti wanita, adakah El pernah menghadapi stigma atau stereotaip tertentu? Bagaimana anda menanganinya?
Dalam industri, saya rasa tidak banyak stigma yang saya hadapi secara langsung. Tapi di sekeliling ada, dalam kehidupan harian, saya pernah rasa terikat dengan stereotaip tertentu. Contohnya, ada anggapan bahawa seorang wanita tidak sepatutnya meminta bantuan suami dalam menguruskan anak-anak atau kerja rumah. Seolah-olah semua tanggungjawab itu perlu digalas oleh wanita semata-mata.
Kadang-kadang saya terfikir, salahkah kalau saya minta bantuan suami untuk uruskan anak-anak bersama? Tapi saya rasa sekarang ini, dengan adanya lebih banyak ilmu dan kursus keibubapaan yang terbuka kepada semua, semakin ramai bapa yang mula terlibat dan faham peranan mereka. Mereka lebih terbuka untuk membantu, dan itu adalah perkembangan yang sangat positif.
Dalam banyak bidang, wanita sering dinilai berbeza daripada lelaki. Apakah yang perlu dilakukan oleh masyarakat untuk mengurangkan stigma terhadap wanita?
Mungkin wanita perlu lebih, mungkin lelaki perlu dididik dengan lebih terbuka tentang wanita ke anak pun. Macam mana ya? Saya rasa wanita ni tak boleh di-stereotipkan dengan satu karakter. Wanita ni ada pelbagai-pelbagai karakter yang lelaki perlu explore dan kenal. Sekarang ni alhamdulillah kita ada ChatGPT. Mungkin lelaki boleh tanya je ChatGPT kalau tak kenal wanita tu macam manalah.
Saya rasa, untuk mengurangkan stigma terhadap wanita, mungkin kita perlu mendidik lelaki dengan lebih terbuka mengenai wanita, termasuk sejak dari kecil. Wanita tidak boleh distereotaipkan dengan satu gambaran atau karakter sahaja, kerana setiap wanita itu unik dengan pelbagai peribadi dan kekuatan yang berbeza. Lelaki perlu lebih banyak memahami dan mengenali wanita dalam pelbagai aspek.
Sekarang kita ada teknologi seperti ChatGPT yang boleh membantu memberikan pemahaman lebih mendalam. Mungkin lelaki yang tidak faham atau ingin tahu lebih tentang wanita, mereka boleh bertanya dan belajar melalui ChatGPT hahaha…
Apakah pendapat El tentang stigma yang wujud terhadap wanita yang memilih untuk tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak?
Saya sebenarnya tak nak ada pendapat langsung tentang apa yang orang lain rasa. Sebab mereka pun tak tanya saya langsung dan saya pun tak faham cerita sebenar kenapa dia berfikiran macam tu. Tapi secara general, kita sebagai orang Islam tidak salah kalau kita meneruskan salah satu sunnah yang amat dihargai, disukai oleh Allah SWT. Sebab seterusnya, apa yang kita buat di dunia ni bukan sahaja tentang kita. Ia tentang memperkayakan kata-kata, bahasa-bahasa dan penyampaian Allah dan Al-Quran. Okey, kita dah masuk ke catikan.
Saya sebenarnya tidak ingin memberi pendapat tentang apa yang orang lain rasa, kerana mereka juga tidak bertanya kepada saya dan saya tidak tahu sepenuhnya cerita di sebalik pemikiran mereka. Namun, secara umum, kita sebagai umat Islam perlu faham bahawa tiada salahnya jika meneruskan salah satu sunnah yang amat dihargai, disukai oleh Allah SWT. Memilih untuk meneruskan zuriat.
Pada akhirnya, hidup ini bukan hanya tentang kita, tetapi juga tentang bagaimana kita memperkaya dan mengamalkan ajaran Allah SWT serta menyebarkan kebaikan melalui apa yang kita lakukan.
Bagi El, apakah definisi kecantikan yang sebenar, dan bagaimana El melihat kecantikan luar dan dalam berhubung antara satu sama lain?
Dulu, saya mungkin akan jawab dengan kata-kata seperti kebersihan atau penampilan luaran yang kemas. Tapi sekarang, selepas berjumpa dengan pelbagai jenis manusia, saya rasa wanita yang paling cantik adalah wanita yang yakin dengan dirinya sendiri. Wanita yang tidak peduli dengan apa yang orang kata, yang berbangga dengan siapa dirinya dan gaya hidupnya. Wanita yang berkata, “Ini saya, ini gaya saya, dan saya suka dengan apa yang saya pilih.” Kecantikan luar dan dalam akan bersatu apabila dia merasa bahagia dan puas dengan dirinya sendiri.
Walaupun pakaian yang dia pilih mungkin tidak “on trend”, tetapi kerana keyakinan itu, kecantikannya tetap terpancar. Aura positif itu akan keluar dengan sendirinya.
Kecantikan kini banyak dipengaruhi oleh media sosial, bagaimana pandangan El mengenai standard kecantikan yang sering ditonjolkan di platform tersebut?
Saya rasa wanita sering terpaksa mengikuti ‘standard’ kecantikan yang sebenarnya tidak wujud. Sebagai wanita moden, kita sepatutnya buang jauh-jauh konsep kecantikan yang diukur berdasarkan piawaian masyarakat. Ukuran kecantikan yang ditonjolkan di media sosial seringkali tidak realistik dan boleh merosakkan diri sendiri. Tiada kecantikan yang kekal, kan? Jadi, raikan kecantikan masing-masing. Setiap wanita itu cantik dengan cara mereka yang unik.
Dalam industri hiburan yang sering menekankan kesempurnaan, bagaimana El berani menonjolkan kecantikan asli tanpa terikat dengan standard yang ditetapkan?
Bagi saya, keaslian diri itu sesuatu yang penting. Ramai yang boleh relate dan suka dengan apa yang saya tunjukkan, kerana ia adalah diri saya yang sebenar. Tidak semestinya jika seseorang itu tidak berkongsi, mereka dianggap berpura-pura. Semua orang ada cara tersendiri untuk menunjukkan keyakinan mereka. Sebab itu saya selalu katakan kita perlu raikan satu sama lain. Ada yang rasa lebih yakin dengan solekan, ada juga yang rasa cukup dengan keaslian wajah tanpa sebarang solekan. Apa yang penting adalah keyakinan diri kita, kerana itu yang akan menyerlahkan kecantikan sebenar.
Pernahkah El mengalami cabaran atau kritikan kerana cara El mengekspresikan kecantikan? Bagaimana El berhadapan dengan situasi itu?
Sejak kecil, saya sering dikritik kerana kening saya yang agak besar. Namun, sekarang ia menjadi satu trend dan dikenali sebagai ikon. Tidak sangka, apa yang dulunya menjadi bahan kutukan dan kritikan, kini menjadi simbol kecantikan yang dikenali ramai. Kini, apabila orang menyebut nama Elfira Loy, mereka akan ingat ciri khas itu. Saya melihat ini sebagai contoh bahawa setiap keunikan yang kita miliki, walaupun pada mulanya dikritik, boleh menjadi sesuatu yang ikonik dan diterima dengan bangga.
Bagaimana El menangani kritikan atau komen negatif?
Saya lebih suka mendiamkan diri. Bagi saya, apabila kita diam, kita sebenarnya sedang memilih saluran yang tepat untuk berbicara dengan Allah. Tempat terbaik untuk meluahkan perasaan dan mencari ketenangan adalah dengan bercakap kepada-Nya.
Jika El boleh memberi mesej kepada dunia tentang kecantikan, apakah ia?
Mesej saya kepada wanita di luar sana adalah untuk banyak-banyakkan membaca, kerana kecantikan bukan hanya terletak pada penampilan wajah. Kecantikan yang sebenar datang daripada keperibadian; cara kita berfikir, cara kita bercakap, cara kita makan, dan cara kita membawa diri di hadapan orang lain. Itu adalah kecantikan keseluruhan.
Kita tidak boleh lagi melihat kecantikan hanya pada wajah semata-mata. Itulah sebabnya Wardah sangat menekankan keperibadian. Keperibadian yang baik akan melengkapi penampilan kita. Tetapi jika keperibadian kita tidak baik, apa yang kita buat pun akan hanya bersifat sementara.
Arahan Kreatif: Khairul Abidin, Fotografi: Bibo Aswan, Arahan Seni: Amirul Arif, Penata Gaya: Khairul Abidin & Erdina, Penyelaras Kandungan Digital: Farah Ain & Eqa Zulkifli, Solekan: Catyong (menggunakan Wardah), Penata Gaya Hijab: Faradinana, Pakaian: Moschino & Uniqlo.
Baca: “Empati Adalah Sokongan Terbaik Dari Wanita Untuk Wanita Yang Lain,”- Dayah Bakar