Kaka Azraff bawakan ritma yang lebih matang bersama vokal lebih bertenaga menerusi single terbarunya, Kembali.
Terima Kasih yang dilancarkan tahun lalu menjadi buah tangan terakhir Kaka Azraff buat penggemarnya. Mengubati rindu, Kaka kini kembali dengan single terbaru yang diberi judul ‘Kembali’. Lagu ini adalah hasil nukilan sepenuhnya oleh The Good Fellas dengan sentuhan magis, Alif Abdullah sebagai penerbit.
“Lagu ini berkisar erti kebebasan di mana seseorang yang mempunyai perasaan kurang keyakinan diri memperoleh keberhasilan apabila keluar dari kepompong kesulitan hidup setelah mendapat petunjuk,” luah wanita berusia 28 tahun.
Tambah Kaka lagi, lirik lagu ini menonjolkan sisi matangnya dalam dunia seni. “Kelainan single ini jika dibandingkan dengan lagu-lagu terdahulu adalah disebabkan liriknya yang matang. Tidak hanya itu, saya turut menekankan aspek vokal secara total. Begitupun, kalau didengari semula, Kembali kedengaran lebih bersahaja daripada aspek melodinya,”
Menurut kaka dia cukup berpuas hati dengan proses pembikinan Kembali. Baginya dia cukup bertuah pabila berpeluang belerjasama dengan pencipta lagu ini dan menyifatkan composer tersebut seorang yang cukup bercita rasa tinggi dalam muzik.
“Lebih menarik, dia sanggup bereksperimen sehingga mengeluarkan aneka versi demo Kembali sebelum saya membuat keputusan untuk memilih yang terbaik,” tambahnya.
Video muzik Kembali akan menjalani penggambaran pada 10 September ini yang digarap oleh Mohd. Khairul Azri Md. Noor atau lebih dikenali sebagai Keroll.
Kaka bakal mengeluarkan album penuh dengan dua buah lagu baharu termasuk Kembali, Terima Kasih dan Bukan Hal Aku dijadualkan pada hujung tahun ini.
Lebih istimewa, cover single Kembali ini menggunakan gambar Kaka yang pernah EH! rakamkan beberapa tahun lalu.