Bukan calang-calang bakat! Lima nama sudah mengesahkan tempat sebagai finalis kategori Artis Baru Terbaik sempena Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).
Menariknya, barisan finalis kali ini hadir dengan latar belakang yang cukup berbeza. Ada yang sudah lama mengasah bakat menerusi pertandingan nyanyian, ada yang bermula dengan video nyanyian di media sosial, ada yang hadir daripada dunia nasyid dan ada juga kumpulan yang lahir daripada program realiti.
Jadi, sebelum malam kemuncak AIM25 berlangsung pada 26 September ini, jom kenali lebih dekat lima finalis yang bakal menjadi perhatian!
Kalau anda mengikuti dunia pertandingan nyanyian, nama Rezza Shah mungkin bukanlah sesuatu yang asing.
Dilahirkan pada 8 Mac 2002, Rezza kini berusia 24 tahun dan sebenarnya sudah mula berkecimpung dalam dunia nyanyian sejak kecil. Dia mula dikenali ketika berusia lapan tahun menerusi program Bintang Kecil RTM.
Selepas melalui beberapa pentas pertandingan, Rezza kembali menjadi perhatian menerusi program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) 2024, apabila berjaya mara sehingga Top 8.
Tidak hanya menyanyi, Rezza turut mengembangkan sayap sebagai pelakon dan pernah muncul dalam beberapa drama termasuk ‘Wanita Milik Kaiden’.
Bagi AIM25 pula, Rezza mempertaruhkan single Mungkin. Lagu yang dilancarkan pada 2025 itu menampilkan sisi vokal yang lebih matang, dengan ciptaan Rudy Nastia, Ku Yen, Barr Hadif dan Kelana, manakala liriknya ditulis Ku Yen, Jebat Asmara dan Rudy Nastia.
Ary Hussin – Luka Terpaling Dalam
Daripada gerai burger ke pentas AIM25, perjalanan Ary Hussin memang boleh dikatakan lain daripada yang lain.
Nama sebenar Muhammad Hadzri Hussin, Ary berusia 40 tahun dan sebelum melangkah secara profesional dalam industri muzik, dia dikenali menerusi video-video nyanyian yang dimuat naik di media sosial.
Apa yang menarik, Ary sebelum ini mencari rezeki sebagai peniaga burger. Namun, bakat nyanyiannya mula mencuri perhatian selepas rakaman dia menyanyi menjadi tular di media sosial.
Daripada sekadar menyanyi untuk menghiburkan orang ramai, Ary kemudiannya mendapat peluang lebih besar apabila menyertai Gimme The Mic sebelum melangkah ke dunia rakaman profesional.
Single sulungnya, Luka Terpaling Dalam, menjadi karya yang membawanya ke pentas AIM25. Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer Edrie Hashim dan menampilkan susunan muzik dengan elemen strings serta piano yang memberikan nuansa dramatik kepada vokalnya.
Daripada pentas Big Stage Alpha, nama Mohamad Haikal Mohamad Nagib atau lebih dikenali sebagai Qal-G kini terus mencuri perhatian apabila berjaya melangkah ke Top 5 kategori Artis Baharu Terbaik AIM25.
Qal-G yang berasal dari Selangor berusia 27 tahun ketika menyertai Big Stage Alpha pada 2025. Dalam program realiti tersebut, dia menggunakan nama pentas Qarl G dan menjadi antara peserta yang mencuba nasib untuk membuktikan kemampuan vokalnya.
Walaupun langkahnya dalam Big Stage Alpha terhenti pada minggu kedua, perjalanan seninya tidak berhenti di situ. Qal-G meneruskan langkah dalam bidang muzik menerusi single Sepi, yang akhirnya membawanya ke pentas AIM25.
Kalau nama Alpha disebut, ramai mungkin terus teringat tujuh anak muda yang diperkenalkan menerusi program Big Stage Alpha.
Berbeza dengan empat finalis lain yang bergerak secara solo, Alpha merupakan kumpulan lelaki yang dianggotai tujuh ahli iaitu Rizal Rasid, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ariel Fesol.
Kumpulan ini membuat debut dengan lagu Mona Lisa (Bang Bang) yang membawa elemen pop moden dan suntikan K-pop yang cukup segar serta bertenaga.
Malah, lagu tersebut menjadi antara karya yang memperkenalkan identiti Alpha kepada peminat muzik tempatan sebelum mereka tampil dengan single kedua, P. Ramlee & Saloma.
Menariknya, Alpha bukan sekadar tercalon dalam kategori Artis Baharu Terbaik. Mereka turut mendapat pencalonan dalam Vokal Kumpulan Terbaik menerusi P. Ramlee & Saloma, selain karya tersebut turut berada dalam kategori Lagu Pop Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik.
Yusuf Kassim – Sebelum Mata Terpejam Selamanya
Melengkapkan senarai ialah Yusuf Kassim, nama yang membawa warna berbeza dalam kategori ini menerusi muzik berunsur kerohanian dan nasyid.
Yusuf tercalon menerusi lagu Sebelum Mata Terpejam Selamanya, yang turut melayakkan dirinya ke Top 5 bagi kategori Lagu Nasyid Terbaik.
Lagu tersebut dilancarkan pada 27 Jun 2025 dan merupakan hasil ciptaan serta lirik oleh Frizdan Fizarahman, dengan susunan muzik oleh Amy Bong.
Tidak berhenti di situ, Yusuf juga mempunyai latar dalam dunia tilawah al-Quran. Pada 2025, beliau dinobatkan sebagai Johan Qari Negeri Johor, sebelum menyertai kumpulan nasyid kontemporari Zayne sebagai anggota baharu pada 2026.
Lima nama, lima cerita berbeza! Kalau diperhatikan, kelima-lima finalis ini mempunyai laluan yang cukup berbeza menuju AIM25.
Jadi, anda rasa siapa yang bakal membawa pulang trofi Artis Baharu Terbaik?
Baca: Selain Datuk Sri Siti Nurhaliza, Ini Penyanyi Yang Pernah Memenangi Vokal Terbaik di AIM





