Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah sempena Istiadat Perkahwinan Kerabat Di-Raja Pahang buat Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia dan pasangan.
Nama Christopher Lionel Froggatt kini menjadi perhatian selepas satu istiadat istimewa yang menghimpunkan Kerabat Di-Raja Pahang dan seorang lelaki dari Britain.
Sosoknya mungkin belum begitu dikenali ramai di Malaysia, namun namanya sebenarnya mempunyai kisah yang cukup menarik untuk disoroti.

Baru-baru ini, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Istiadat Akad Nikah anakanda Paduka Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia dengan pasangannya, Christopher Lionel Froggatt.

Istiadat akad nikah pasangan itu berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2026 dan turut disaksikan oleh Sultan Pahang serta Kerabat Di-Raja.
Jadi, siapa sebenarnya Christopher Lionel Froggatt atau lebih dikenali sebagai Chris Froggatt yang berjaya memikat hati Tengku Puteri Ilyana Alia?

Anak kelahiran Britain yang mempunyai minat mendalam terhadap kereta
Chris Froggatt dilahirkan pada 11 Disember 1993 di Windsor, Berkshire, England dan beliau merupakan warganegara Britain. Berbeza daripada ramai pelumba profesional yang memulakan perjalanan sejak usia kanak-kanak melalui karting, Chris sebenarnya agak lewat menyertai dunia perlumbaan.
Menurut profil rasminya bersama Tempesta Racing, minatnya terhadap kereta, quad bike dan motocross sejak kecil menjadi antara faktor yang menyemarakkan kecintaannya terhadap dunia permotoran.

Baru serius dalam perlumbaan ketika berusia 24 tahun
Menariknya, Chris tidak membesar dengan laluan tipikal seorang pelumba profesional. Beliau hanya mula serius dalam dunia perlumbaan sekitar usia 24 tahun. Titik perubahan dalam hidupnya berlaku selepas menyertai satu sesi pemanduan berprestasi tinggi Ferrari di litar Fiorano, Itali.
Di situlah beliau bertemu Eddie Cheever III, yang kemudiannya menjadi antara individu penting dalam perjalanan perlumbaan Chris. Pertemuan tersebut akhirnya membawa kepada penubuhan Tempesta Racing.

Pernah bergelar juara Ferrari Challenge Europe
Chris membuat penampilan dalam Ferrari Challenge Europe pada 2017. Pada musim pertamanya, beliau berjaya mencatat beberapa kemenangan dan podium sebelum menamatkan musim di tempat ketiga dalam kelas Trofeo Pirelli Pro-Am.

Pengasas Tempesta Racing
Selain bergelar pelumba, Chris juga mempunyai peranan besar di sebalik pasukan perlumbaan Tempesta Racing.
Pasukan tersebut diasaskan pada 2017 dan berkembang daripada idea yang tercetus selepas pertemuannya dengan Eddie Cheever di Ferrari test track di Itali. Chris bukan sahaja berada di belakang stereng, malah turut terlibat dalam pembangunan pasukan yang kemudiannya bersaing dalam perlumbaan GT di peringkat Eropah.

Kini bergelar suami kepada Tengku Puteri Ilyana Alia
Chris Froggatt telah berkahwin dengan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia, puteri kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Che Puan Julia Rais.
Pasangan itu selamat diijabkabulkan dalam satu istiadat akad nikah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2026. Sultan Pahang turut berkenan berangkat menghadiri istiadat tersebut. Perkahwinan pasangan ini turut mendapat perhatian media antarabangsa kerana ia menyatukan kerabat diraja Pahang dengan seorang pelumba kereta profesional dari Britain.
