Gambar: Arkib EH!
Semakin pantas mencuri tumpuan penggemar siri televisyen tempatan, aktor ini tidak mengambil masa terlalu lama untuk tampil yakin sebagai hero pelapis dalam bidang lakonan. Langkahnya semakin pasti dengan tawaran yang belum lagi putus mengisi rencana kerjayanya.
EH! berkongsi berkongsi cerita karier, keinginan dan peribadi jejaka ini.
BOLEH CERITAKAN SEMULA BILA ANDA BERMULA?
Sebetulnya semua kerana minat dalam bidang peragaan dan lakonan membawa kepada inisiatif memasuki pertandingan Hero Remaja. Daripada menghantar borang sampailah ke sesi audition saya lakukan sendiri. Alhamdulillah dengan minat serta kerja keras yang ada saya berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut dan meneruskan minat dalam bidang lakonan dengan tawaran berlakon pertama saya bagi drama bersiri Kerana Sarah sekitar awal 2013 untuk tayangan saluran TV3. Selepas itu satu per satu tawaran berlakon saya terima sehingga hari ini.
BAGAIMANA ANDA MELIHAT TRANSISI KERJAYA ANDA SEKARANG? ADAKAH BERJALAN SEPERTI YANG DIRANCANG?
Alhamdulillah seperti saya beritahu awal tadi sejak drama pertama saya lakokan sehingga hari ini jadual kerja saya sentiasa terisi. Selepas habis Kerana Sarah saya menerima tawaran Playboy Itu Suamiku dan selepas itu Cinta Dari Marikh, Cinta Ibadah, Nasuha dan yang terbaru Bencinta. Sejujurnya saya tidak punya ilmu berlakon secara profesional. Hanya menerusi drama pertama tersebut saya perlahan-lahan belajar sendiri dengan bantuan pengarah dan pelakon-pelakon lain. Dengan elemen-elemen beginilah membantu saya untuk menjadi lebih baik setiap kali ke set penggambaran.
BAGAIMANA ANDA MELIHAT PENERIMAAN SEMUA? BAIK PRODUSER, PENGARAH DAN PENONTON SENDIRI?
Bagi saya bila tawaran demi tawaran diterima itu bukti bahawa kehadiran saya disenangi. Respons penonton dan peminat juga cukup baik untuk memberi saya lebih semangat memberikan yang lebih lagi pada mereka.
PERANCANGAN KARIER ANDA?
Sudah tentu mahu menjadi pelakon yang serba-boleh dan tidak terikat dengan tawaran watak serupa semata. Saya tidak mahu menjadi stereotaip dan terlalu predictable. Sebagai contoh bila orang tengok Fattah orang kaitkan dengan watak cinta tipikal semata. Saya mahu pelbagaikan kebolehan dalam berlakon dan mencabar diri untuk menjadi pelakon yang lebih baik.
SIAPA FAVOURITE ANDA?
Dalam bidang lakonan saya sentiasa looking forward terhadap Johnny Depp dan Leonardo DiCaprio. Bagi saya mereka mampu melakonkan apa jua watak tanpa perlu terikat dengan karakter serupa setiap kali keluar dengan filem terbaru. Jika boleh saya mahu juga bekerja bersama dengan pengarah hebat seperti Osman Ali dan Khabir Bhatia.
PUNYA BACK-UP PLAN SELAIN BERLAKON?
Selain berlakon saya punya minat mendalam terhadap bidang bisnes dan bersama seorang teman rapat kami sudah pun membuka sebuah gim yang diberi nama Expendables Gym berlokasi di Kelana Jaya. Sebetulnya sebelum serius dalam bidang lakonan banyak juga cabang bisnes yang sudah saya cuba tetapi Alhamdulillah dengan ilmu yang saya ada sepanjang pengajian dalam bidang ini dan ditambah dengan pengalaman teman rapat, kami berdua berkongsi modal untuk menjalankan bisnes gim yang baru sahaja beroperasi lebih kurang empat bulan.
JIKA PUNYA MASA LAPANG?
Selain bersukan sama ada futsal masa saya kerap juga dihabiskan di studio untuk jamming bersama teman-teman. Saya bertindak sebagai vokalis dan teman lain akan bermain instrumen. Muzik kami berlegar Pop Rock dengan beberapa lagu yang dicipta sendiri. Aktiviti jamming ini hanya sekadar mengisi masa lapang yang ada selain minat terhadap muzik yang ada dalam diri.
SIAPA SHERRY IBRAHIM DI MATA FATTAH AMIN?
Kami mula kenal sejak penggambaran Cinta Ibadah dan sejak itu kami menjadi rapat. Saya sebenarnya tak ramai kawan di kalangan selebriti. Hanya selepas kenal rapat dengan Sherry barulah circle of friends berkembang. Dari dia saya berkawan dengan Ryzal Jaafar dan lain-lain. Sherry bagi saya seorang teman yang baik – mudah didekati dan tidak sombong. Dia berbeza bagi saya sebab tak pernah lokek berkongsi ilmu dan pengalaman yang dia ada. Hal ini penting bagi saya bukan sahaja untuk perkembangan karier tetapi juga untuk pembawaan diri dalam situasi berbeza.