Nama Ben Amir bukan asing dalam industri hiburan tanah air, namun sejak mendirikan rumah tangga, perhatian ramai turut tertumpu kepada wanita yang berjaya menambat hatinya, Liana Alara.
Pelakon terkenal Muhammad Amir Sabaruddin atau lebih dikenali sebagai Ben Amir kini sah bergelar suami selepas mengikat tali perkahwinan dengan Liana Alara pada Disember 2025.

Berita gembira ini dimuat naik sendiri oleh Ben Amir di platform media sosialnya, di mana beliau berkongsi foto hari bahagia mereka dan mengucapkan terima kasih kepada peminat serta pihak yang mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut.
Siapakah sebenarnya figura wanita yang kini bergelar isteri kepada Ben Amir?
Berasal dari Filipina
Liana Alara berasal dari Filipina dan sebelum ini dikenali sebagai Maiya.

Peluk agama Islam
Nama Liana Alara dipilihnya selepas beliau memeluk agama Islam pada November 2025, satu langkah penting dalam hidupnya yang dipenuhi makna serta perubahan rohani. Selepas lafaz syahadah dan menjadi seorang mualaf, Maiya memilih nama Liana Alara, yang menurutnya membawa makna ketenangan dan cahaya, simbol sebuah permulaan baharu yang penuh harapan dan kedamaian.

Usahawan wanita
Dengan lima jenama perniagaan di bawah naungannya, khususnya di Siargao Island, Filipina. Antara yang paling dikenali ialah The Juice Shack Siargao, sebuah kafe berkonsepkan minuman buah-buahan segar dengan suasana santai pulau tropika, sambil mengetengahkan sentuhan rasa Malaysia seperti Teh O Ais Limau di bawah slogan “RASA: Taste of Malaysia”.
Beliau turut mengusahakan RASA Restaurant, yang dikenali sebagai dapur Malaysia pertama di Siargao Island, menyajikan hidangan ala masakan rumah, 100 peratus halal. Selain itu, Liana juga mengasaskan Raket Badminton Club, iaitu hab gaya hidup badminton pertama di Siargao, menggabungkan sukan, komuniti dan gaya hidup sihat.
Tidak terhenti di situ, minatnya terhadap alam dan gaya hidup lestari diterjemahkan menerusi Siargao Farmhouse, yang mengetengahkan konsep farmhouse living & island dreaming. Manakala MYA Studio pula berfungsi sebagai sebuah studio kreatif digital.

Seorang traveller tegar
Selain aktif dalam dunia perniagaan, Liana Alara juga dikenali sebagai seorang pengembara tegar yang gemar meneroka pelbagai destinasi di seluruh dunia. Minatnya terhadap pengembaraan bukan sekadar melancong, malah melibatkan aktiviti lasak apabila beliau pernah mendaki gunung di kawasan Everest. Pengalaman kembara Liana turut merangkumi bandar-bandar utama dunia seperti Tokyo, Taiwan, Paris dan Amsterdam.
Baca: Kenali Tengku Bakar Ahmad, Lelaki Yang Dikaitkan Dengan Ameera Khan
