Drama lanun yang telah lama ditunggu-tunggu, One Piece akhirnya menemui penonton di Netfllix pada akhir Ogos lalu.
Sejak disiarkan, One Piece berada di kedudukan teratas dalam carta dan baru sahaja mendapat kelulusan untuk disambung bagi musim kedua.
Berdasarkan manga terlaris karya artis Jepun Eiichiro Oda, drama aksi ini menyusuri perjalanan watak utama, Monkey D Luffy (Inaki Godoy) dan usahanya untuk menjadi Raja Lanun. Dalam rancangan lapan episod itu, Monkey mencari harta karun lanun Gold Roger yang digelar ‘One Piece’.
Ketika pengembaraannya, penonton diperkenalkan dengan krunya termasuk Roronoa Zoro (Mackenyu) dan Nami (Emily Rudd). Ia turut menampilkan Jacob Romero sebagai Usopp, Taz Skylar sebagai Sanji, Morgan Davies sebagai Koby, Vincent Regan sebagai naib laksamana Garp dan Aidan Scott sebagai Helmeppo.
Tiga karakter utama iaitu Monkey, Roronoa dan Nami adalah fokus dalam naskah popular Eiichiro Oda ini.
Kenali watak-watak utama dalam siri One Piece arahan Marc Jobst
Inaki Godoy sebagai Monkey D Luffy
Sebagai ketua Straw Hat Pirates, Monkey D Luffy merupakan salah satu watak manga dan anime paling terkenal sepanjang zaman.
Aktor Mexico berusia 20 tahun ini menggambarkan wataknya sebagai “seorang lelaki yang sangat ceria dan penuh dengan keseronokan”. Juga seorang “sahabat luar yang akan berjuang untuk anda dan impian anda,” menurut Netflix.
Inaki Godoy mungkin dianggap pendatang baharu dalam dunia lakonan namun dia telah berlakon dalam filem dan rancangan televisyen Mexico seawal usia 11 tahun.
Naskah lakonannya termasuk La Querida Del Centauro, Animo Juventud, MexZombies, Who Killed Sara? dan The Imperfects, siri bahasa Inggeris pertamanya. Dia kini mempunyai 2.4 juta pengikut di Instagram.
Emily Rudd sebagai Nami
Menggalas karakter pencuri yang juga pakar kartografi dan pandu arah, Emily Rudd menggambarkan Nami sebagai “pencuri paling tenang” dalam kumpulan itu.
Watak wanita utama ini tidak gentar mengambil setiap peluang yang ada di depan mata dan sentiasa yakin dengan keputusannya. Bagaimanapun persalinannya dalam drama One Piece lebih konservatif berbanding anime untuk memastikan ia sesuai ditonton semua, menurut Insider.
Sebelum membintangi One Piece, Emily Rudd pernah berlakon dalam pelbagai drama dan filem termasuk Dynasty, The Fear Street, Hunters dan Moonshot. Jelitawan Amerika Syarikat berusia 30 tahun itu kini mempunyai 2.9 juta pengikut di Instagram.
Mackenyu sebagai Roronoa Zoro
Dengan harapan untuk menjadi pemain pedang terhebat di dunia, watak Mackenyu sebagai Roronoa Zoro dalam siri ini juga adalah pemburu lanun.
Bagi pelakon Jepun berusia 26 tahun ini, One Piece mempunyai tempat istimewa di hatinya sejak sekian lama. Katanya kepada Netflix, “Saya dilahirkan pada tahun 1996, jadi One Piece telah wujud sepanjang hidup saya. Jika anda warga Jepun, mustahil anda tidak tahu mengenainya.”
Mackenyu mempunyai 5.3 pengikut di Instagram di mana dia berkongsi fotonya mempromosikan jenama mewah Fendi, Tiffany & Co., Burberry dan Louis Vuitton.
Walaupun baru berusia 20-an, anak kepada aktor popular Sonny Chiba ini sudah pun terlibat dalam 45 drama dan filem. Ini termasuk Pacific Rim: Uprising dan Knights of the Zodiac, juga naskah Jepun seperti Over Drive serta Impossibility Defense.
Baca: Fakta Menarik Tentang Aktor K-Drama Moving, Lee Jung Ha