Rania Al Sadat, isteri penyanyi popular Sufian Suhaimi, mencuri perhatian ramai bukan sahaja kerana statusnya sebagai pasangan selebriti, tetapi juga kerana latar belakangnya yang menarik dan berpengaruh.
Walaupun lebih dikenali sebagai pasangan kepada Sufian, Rania sebenarnya seorang wanita yang cukup menarik perhatian dengan gaya hidupnya yang unik dan personaliti yang merendah diri.
Beliau jarang muncul di media sosial namun menjadi bualan ramai kerana kecantikannya, cara hidup yang elegan dan tentu sekali hubungan low-profile romantisnya dengan Sufian.
EH! bongkar lebih lanjut tentang siapa sebenarnya Rania Al Sadat, latar belakangnya dan apa yang membuatkan beliau special di kalangan peminat.
Fakta menarik tentang Rania Al Sadat yang ramai tak tahu…
1. Cucu Mufti pertama Kuala Lumpur
Beliau merupakan cucu kepada Mufti pertama Kuala Lumpur, menambahkan lagi keistimewaan dalam latar belakangnya. Mufti pertama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah Sahibus Samahah Tan Sri Dato’ Sheikh Abdul Mohsein bin Haji Salleh, yang memegang jawatan tersebut dari 1 Februari 1974 hingga 7 Februari 1986. Beliau dikenali sebagai seorang ulama yang fasih berbahasa Arab dan Inggeris serta sering muncul dalam program keagamaan di televisyen pada zamannya.
2. Model
Bukan sahaja dikenali sebagai seorang peguam, tetapi juga seorang model yang aktif dalam industri fesyen. Walaupun beliau tidak mempunyai profil rasmi di platform model, kehadirannya dalam dunia peragaan dapat dilihat melalui beberapa sumber dalam talian.
3. Beauty with brain
Rania Al Sadat merupakan graduan Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), salah satu institusi pengajian tinggi paling dihormati dalam bidang undang-undang di negara ini. Beliau kini berkhidmat sebagai Peguam dan Peguambela Mahkamah Tinggi Malaya di firma guaman Izzat Othman & Co yang berpusat di Petaling Jaya, Selangor.
4. Ijabkabul
Rania dan Sufian Suhaimi telah disatukan dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis tersebut hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat, mengekalkan suasana yang sederhana dan penuh bermakna.
Sufian, 33, menyerahkan mas kahwin berupa satu dinar emas kepada Rania, 25, bersama tiga dulang hantaran berbalas lima, termasuk sebentuk cincin dan gelang.
5. Putus tunang
Pasangan ini pernah mengikat tali pertunangan pada tahun 2023, namun hubungan mereka terlerai pada April 2024 apabila cincin risik dipulangkan. Bagaimanapun, cinta mereka kembali bertaut beberapa bulan kemudian dan pada Oktober 2024, Sufian menghantar rombongan merisik kepada keluarga Rania. Mereka kemudian bertunang semula pada awal Februari 2025 dan memilih untuk melangsungkan pernikahan hanya dua bulan selepas itu.