Kisah Miss Vietnam 2018, H’Hen Nie yang diejek kerana tidak fasih berbahasa Inggeris oleh Miss USA, Sarah Rose Summers, kini tular menyebabkan ramai yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat.
Kepayahan Hidup Yang Dilalui Miss Vietnam 2018 Menarik Perhatian Dunia
H’Hen Nie, 26, membuktikan walaupun dirinya seperti dipandang rendah kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, dia antara yang terbaik sehingga mara ke peringkat Top 5. Manakala Sarah hanya sekadar melepasi peringkat Top 20. Tetapi apa yang turut menjadi perhatian dunia termasuklah EH! adalah kehidupannya yang cukup mencabar.
Dia berkongsi kisah kemiskinannya dan impian bergelar Ratu Cantik di Vietnam. “From nothing, I am here. You can do it.” Itulah ayat pertama yang ditutur olehnya ketika sesi pengenalan selepas dia melepasi peringkat Top 20. H’Hen Nie dinobatkan sebagai Miss Vietnam pada Januari lalu dan merupakan peserta daripada etnik minoriti pertama memenangi gelaran itu.
“Saya berasal dari keturunan The Rade di selatan Vietnam, kaum minoriti di mana populasi kami hanyalah 5% daripada keseluruhan rakyat Vietnam. Tradisi kaum saya ialah berkahwin di usia muda dan saya tidak bersetuju lalu berpindah ke Ho Chi Minh demi mengejar cita-cita memasuki pertandingan ratu cantik,” kongsinya.
H’Hen Nie bertekad mahu mengubah stigma tradisi kaumnya dan bekerja keras untuk menampung perbelanjaan pengajian termasuk menjadi pengasuh kanak-kanak, menjadi pembantu rumah dan pelayan tetamu di restoran. H’Hen Nie juga berkata dia pernah menjadi guru tuisyen dan pengedar risalah di waktu lapang.
Nasibnya berubah selepas dia menyertai agensi peragaan sebelum menyertai Vietnam’s Next Top Model, tetapi berakhir di peringkat Top 9. Berketinggian 173cm, dia yakin dengan bakatnya dan pengalaman dalam peragaan memberikan keyakinan tinggi dan H’Hen Nie bertekad mencuba pula pertandingan ratu cantik.
H’Hen Nie merupakan antara peserta favorite Miss Universe tahun ini kerana tampil dengan pakej unik, berkulit sawo matang, berambut pendek dan bertubuh atlet. Penyertaannya dalam ratu cantik adalah untuk membantu komunitinya, membanteras kemiskinan di Vietnam, memberikan pendidikan yang bagus buat kanak-kanak susah dan membantu memberikan kesedaran mengenai HIV. Malah dia turut menyumbangkan kesemua duit kemenangan Miss Vetnam kepada penduduk kampungnya dengan membina perpustakaan buat kanak-kanak di sana. Such a bless heart.
Sumber : Cosmopolitan.my