Tarikh 2 Februari 2018 menyaksikan pernikahan serba indah dan mewah antara waris empayar Naza Group dan juga Berjaya Group apabila SM Faliq SM Nasimuddin mengakhiri zaman bujangnya dengan puteri kesayangan Tan Sri Vincent Tan, Chryseis Tan.
Upacara pernikahan yang berlangsung di The Chateau, Bukit Tinggi di Bentong, Pahang itu menjadi detik paling bermakna buat pasangan yang dilamun cinta sejak beberapa tahun lalu. Penyatuan dua budaya menjadikan perkahwinan ini lebih istimewa dalam suasana indah bak taman kayangan dipenuhi dengan ribuan mawar.
Majlis pernikahan yang dihiasi indah oleh The Rainforest Wedding dan perancang majlis Tie The Knot berjalan dengan lancar dan mengikut posting oleh adik Faliq, Nadia Nasimuddin, pengantin lelaki dengan sekali lafaz bergelar suami kepada Chryseis.
Pengantin perempuan tampil ayu dalam persalinan serba putih oleh pereka Indonesia Yefta Gunawan lengkap dengan layah panjang. Waris empayar Berjaya Group ini ternyata gembira dan mengumumkan sendiri hari bahagianya bergelar suri kepada Faliq di akaun Instagramnya.
Turut diadakan sesi tea ceremony tradisi Cina bersama keluarga dan sahabat handai. Kedua pengantin dan semua tetamu tampil anggun dalam busana tradisi.
Tentunya, majlis resepsi meraikan kedua mempelai bakal berlangsung dengan penuh gemilang dan serba mewah tidak lama lagi. Pasangan ini bertunang selepas Faliq melamar kekasih hatinya ini di malam penuh romantis ketika bercuti di Marakkesh, Maghribi tahun lalu.
Majlis tertutup hari bahagia pasangan ini dihadiri oleh keluarga serta saudara mara serta rakan taulan. Masing-masing hadir dalam persalinan anggun menawan. Turut menjadi perhatian ahli keluarga yang juga dalam kalangan sosialit antaranya selebriti Marion Caunter.
Klik halaman berikut untuk saksikan lebih banyak foto di majlis pernikahan SM Faliq dan Chryseis Tan.
Foto: Instagram
Sumber: Jelita