Bintang utama Projek Anchor SPM, Daiyan Trisha meluahkan rasa kecewa atas hebahan fitnah yang dilakukan oleh petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menerusi Twitter.
Daiyan Trisha hari ini berkongsi satu khabar yang kurang menyenangkan apabila seorang pengguna Twitter menghebahkan satu fitnah kepadanya beberapa hari lalu tentang penglibatannya sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin. Lebih mengejutkan selepas disiasat, pengguna tersebut juga merupakan salah seorang petugas di lokasi PPV yang sama.
Dalam ciapan itu, pengguna tersebut mempersoalkan mengapa orang ramai mengidolakan atau memuji penglibatan selebriti di PPV. Dia beranggapan selebriti yang bertugas di PPV sekadar hadir selama 15 minit dan datang untuk bergambar semata. Dan penghantar ciapan tersebut juga dengan jelas merujuk ciapannya itu kepada Daiyan Trisha apabila ada seorang pengguna Twitter bertanyakan sama ada dia memaksudkan individu tersebut adalah Daiyan Trisha.
Dalam hantarannya di Instagram hari ini, Daiyan menjelaskan biasanya dia akan berada di PPV antara lima hingga ke sepuluh jam. Menurut Daiyan yang popular dengan lagu ‘On My Way’ pada hari pertama dia sebagai sukarelawan di PPV, dia datang sendirian, dan hanya ditemani pembantu peribadi pada hari kedua dan ketiga, malah pembantu peribadinya itu juga membantu melunaskan kerja-kerja sebagai sukarelawan.
Daiyan juga berharap sokongan dan tumpuan seharusnya diberikan kepada petugas barisan hadapan yang lain seperti doktor, jururawat, petugas hospital juga sukarelawan yang lain dan dalam masa yang sama usah memperlekehkan niat orang lain yang mahu membantu. Daiyan turut berterima kasih kepada pihak Qualitas yang membantunya untuk mengesan individu yang memulakan ciapan tersebut. Kepada Daiyan kami berharap insiden ini tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus melakukan kerja sukarelawan seperti ini.
Artikel Berkaitan: “Explore, hingga jumpa apa yang kita suka dan sesuai,”- Daiyan Trisha