I Am Me bukan sekadar lagu buat Demi Lovato. Baru-baru ini dia berkongsi mesej positif tentang bagaimana dia tidak perlukan sesiapa pun untuk hidup bahagia selamanya.
“Bahagian terbaik hidup membujang adalah mengetahui bahawa kebahagiaan saya datang dari diri sendiri, bukan orang lain,” tulisnya di Instagram Story minggu lalu.
Ramai peminat merasakan ia adalah luahan perasaannya selepas berpisah dengan tunang, Max Ehrich September lalu.
Bulan lalu, bintang pop ini juga mengimbas momen terbaiknya pada tahun 2020 termasuk hubungan cintanya yang putus di tengah jalan.
“Saya membuat persembahan di Grammy dan menyanyikan lagu kebangsaan di Super Bowl. Namun selepas itu Covid melanda dan segalanya terhenti, jadi saya lakukan apa yang dilakukan oleh orang lain, berkurung di dalam rumah dan bertunang,” imbas Demi di E!’s People Choice Awards, di mana dia menjadi pengacara di majlis tersebut.
“Saya layan tujuh musim Pretty Little Liars, kembali single, kemudian mencari alien di padang pasir, pada dasarnya sama seperti orang lain,” tambahnya.
Walaupun berjenaka mengenai perhubungannya, dia tetap mengunci mulut mengenai butiran perpisahannya dengan bintang Young and the Restless tersebut. Max sebaliknya sangat terbuka berbicara mengenainya.
Beberapa hari selepas berpisah, Max memuat naik Instagram Story mengatakan dia mengetahui perpisahan itu hanya melalui tabloid. “Bayangkan anda dapat tahu status perhubungan sendiri melalui tabloid. Ketika sedang menjalani penggambaran filem biopik mengenai paderi dalam gereja Kristian dengan niat baik untuk menolong orang lain.”
Namun satu sumber memberitahu E! News, Demi sudah pun berbincang dengannya sebelum itu dan Max hanya membuat cerita untuk kekal relevan. Mungkin betul tindakan Demi ini, kerana keluarganya menganggap Max “gila” dan berasa lega apabila Demi mengambil keputusan untuk berpisah.
Satu sumber lagi mengatakan, Demi tidak mahu apa-apa hubungan langsung dengan Max buat masa ini kerana malu dengan sikap jejaka itu membicarakan hal perhubungan mereka secara terbuka di media sosial.
Namun nampaknya Demi beruntung, keluarganya sentiasa berada di sisi untuk memberi sokongan. Semoga tuah menanti Demi di tahun baru!
Foto: AFP/Emma McIntyre
Baca: Demi Lovato Putuskan Persahabatan Dengan Selena Gomez?