Kerjaya seni Datuk Siti Nurhaliza yang genap menjangkau dua dekad diraikan dengan konsert istimewa penyanyi nombor satu negara ini bersama barisan penghibur hebat pilihannya.
Dibawakan oleh Yonder Music dan Celcom Xpax, Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends yang berlangsung di Stadium Merdeka tanggal 2 April lalu menjadi memori indah buat peminat serta penggemar muzik tempatan.
Datuk Siti yang anggun dalam persalinan serba merah dan emas rekaan Rizman Ruzaini dan dihiasi menawan oleh Nurul Shukor mendendangkan lagu-lagu ikoniknya serta kolaborasi pentas bersama Joe Flizzow & SonaOne, selain artis jemputan Cakra Khan dan Hafiz Suip.
Juga istimewa terbang dari Paris adalah diva nusantara Anggun Cipta Sasmi yang hadir memberi sokongan buat konsert Datuk Siti. Mereka berduet lagu Snow on the Sahara dan Bukan Cinta Biasa.
Duet lagu Bagaikan Sakti bersama Faizal Tahir juga antara yang dinantikan selain kemunculan Afgan yang punyai ramai peminat mendendangkan lagu Biarlah Rahsia bersamanya.
Acara selingan menyaksikan klip video sesi temubual bersama mereka yang memberi impak dalam perjalanan seni Datuk Siti termasuk ibu kesayangan serta ahli keluarga.
Siti juga turut mendedikasikan satu segmen buat mentornya dalam bidang ini iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang banyak membimbing dan menghasilkan karya buat Siti.
Sebuah lagu istimewa berjudul Memories juga turut diperkenalkan buat pertama kalinya. Ia adalah lagu nyanyian mendiang Whitney Houston yang bakal dirakam semula dalam bentuk duet Datuk Siti bersama idolanya ini. Di akhir konsert ini juga pihak produksi menjalankan rakaman video muzik buat lagu ini bersama ribuan peminat Siti.
https://www.youtube.com/watch?v=R-xZouhwtSI
Konsert yang dihadiri oleh lebih 7,000 penonton ini turut menggabungkan pemuzik dari Amerika Syarikat selain strings orchestra yang mengiringi persembahan selama dua jam ini.
Tahniah Datuk Siti dan terima kasih kerana mewarnai persada seni tanah air sepanjang 20 tahun ini!
https://www.youtube.com/watch?v=7NZbI_HboQc