Konsert An Intimate Evening with Afgan and The Gandarianz ternyata full house dengan kehadiran peminat-peminatnya di Malaysia.
Ini merupakan kali pertama Afgan membawa kumpulan kugirannya iaitu The Gandarianz untuk beraksi di acara tersebut yang diadakan bersempena dengan Minggu Setiausaha yang bertempat di Tamingsari Ballroom, The Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur.
“Saya sering membuat persembahan di Malaysia, tetapi biasanya akan diiringi dengan muzik minus-1, jadi kali ini saya bawakan kumpulan kugiran saya sendiri untuk membuat persembahan secara langsung yang lebih mantap dan memuaskan. Alhamdulilah, semua orang terhibur dengan persembahan kami malam ini,” terang Afgan di sidang media selepas acara itu.
Afgan bersama kumpulan kugirannya pada asalnya mahu mempersembahkan 10 buah lagu, namun pada malam acara tersebut dia dengan senang hatinya mendendangkan 13 buah lagu.
Antara lagu popular miliknya sendiri yang dipersembahkan, Afgan menyanyikan lagu Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Knock Me Out, Jalan Terus dan Ku Dengannya Kau Dengan Dia dari album terbarunya yang berjudul Slides.
Selain dari rangkaian lagu-lagu popularnya, bintang terkenal dari Indonesia ini turut membawakan lagu-lagu artis antarabangsa yang diminatinya termasuklah Shape of You nyanyian asal Ed Sheeran serta That’s What I Like dendangan asal Bruno Mars. Akuinya yang mana artis-artis Hollywood ini merupakan sumber inspirasinya dalam dunia muzik.
Acara makan malam tersebut turut dihadiri oleh kaum kerabat Diraja Pahang serta rakan-rakan media. Mahukan lebih mesra dan intim bersama peminatnya, Afgan turut mendekati para tetamunya yang hadir dengan turun dari pentas dan menghiburkan mereka. Boleh kata hampir setiap meja yang sedang menjamu selera dikunjungi oleh Afgan. Rata-rata peminatnya tidak mahu melepaskan peluang untuk berswafoto bersama Afgan yang sedang membuat persembahan secara live itu.
Ketika ditemui di sidang media, Afgan turut menyampaikan hasratnya untuk menghasilkan sebuah album berbahasa Inggeris dan ia sudah pun berada di dalam perancangannya. Namun dirinya masih lagi dalam proses mencari penerbit yang sesuai.
Afgan sendiri menjelaskan yang dirinya mensasarkan untuk memasuki pasaran Eropah berbanding Amerika Syarikat.
“Sebelum ini saya juga pernah bekerja dengan seorang penerbit dari United Kingdom yang bernama Mark Hill untuk album saya sebelum ini. Dia pernah menjadi penerbit untuk Ed Sheeran serta Craig David. Bagi saya melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa secara serius, saya rasa saya perlu mencari penerbit yang sesuai dengan diri saya. Penerbit itu penting untuk pembikinan album dan saya tidak boleh mengambil remeh akan perkara itu,” jelasnya kepada media yang hadir.
Tetamu pada awalnya dipersembahkan dengan persembahan nyanyian pembukaan dari Hael Husaini sebagai artis jemputan dengan lagu cover My All nyanyian asal Mariah Carey serta lagu popularnya iaitu Jampi.
Turut hadir di malam acara itu adalah Rita Rudaini dan Ummi Nazeera.