Berita sedih buat peminat yang menantikan kehadiran bintang Bollywood iaitu Salman Khan, konsert jelajahnya Da-Bang The Tour 2017 telah ditunda.
Konsert julung kali yang bakal mementaskan Salman Khan pada Jumaat ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) dikatakan terpaksa ditunda ke bulan Julai nanti atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Meskipun konsert jelajah di Malaysia ditangguhkan, konsert di Hong Kong, Auckland, Sydney dan Melbourne masih diteruskan. Pihak penganjur telah pun mengeluarkan notis berhubung berita tersebut dan akan mengumumkan tarikh baharu pabila mereka sudah membuat persetujuan bersama Salman kelak.
Dalam masa yang sama, Salman turut berkongsi berita tersebut menerusi akaun Facebook nya yang bertulis , “Hello Malaysia. Penganjur sudah meminta kepada saya untuk mengatur semula jadual konsert Da-Bang di Malaysia. Kami akan kongsikan perkembangan terkini berhubung tarikh baharu secepat mungkin.”
Pihak penganjur turut memohon maaf atas penundaan konsert yang ditunggu-tunggu itu. Ia merupakan konsert julung kali Salman Khan di Malaysia.