Padat dengan kehadiran penonton, KL Live cukup bergema dengan persembahan bertenaga dari penyanyi terhangat dari Eropah, Dua Lipa.
Penuh dengan penonton kira-kira 2,500 orang yang hadir, rata-rata cukup teruja menyaksikan persembahan secara langsung bintang popular dengan lagu New Rules yang berusia 22 tahun itu.
Keterujaan di setiap hati penonton buatkan ramai yang mula melaungkan nama Dua berulang kali ketika sebelum bintang itu keluar di atas pentas. Namun, ia tidak mengambil masa yang lama untuk Dua tampil ke atas pentas dan mula beraksi.
Tidak dinafikan yang mana Dua mempunyai vokal yang mantap serta semangat dan cukup energetik ketika membuat persembahan. Pada malam tadi, Dua mempersembahkan lebih dari 15 buah lagu termasuklah lagu hitsnya berjudul Scared To Be Lonely, Blow Your Mind, IDGAF, New Rules, Thinking ‘Bout You, New Love, Homesick, Last Dance dan Genesis.
“I am so thankful to be here with you tonight. I can’t tell you how lucky I am to be here all the way from the other side of the world. And I’m so glad to see you singing and dancing along with me. Thank you so much, Kuala Lumpur,” laungnya kepada banjiran penonton yang terhibur dengan persembahannya.
Ini bukanlah kali pertama Dua beraksi secara langsung di Malaysia kerana sebelum ini dia turut pernah membuat persembahan di Good Vibes Festival di Genting Highlands.
Konsert tersebut berlangsung selama sejam 30 minit dan dibawakan oleh IME Asia.