Selamat bernikah pada Jumaat bertarikh 26 Januari 2018, Yuna akui yang lagunya berjudul Best Love merupakan sebuah lagu tentang suami tercinta, Adam Sinclair.
Tidak dinafikan yang majlis pernikahan penyanyi tersohor negara, Yunalis Zara'ai atau lebih dikenali sebagai Yuna dengan pasangannya, Adam Yousof Sinclair, adik kepada pelakon terkenal Ashraf Sinclair adalah satu majlis yang diimpikan ramai. Bertempat di Puncak Rimba, Bentong Pahang, upacara ijab dan kabul pasangan mempelai ini diadakan berlatar belakangkan hutan rimba yang menghijau.
Dengan pelamin bertemakan alam semula jadi sentuhan The Calla, nyata majlis akad nikah tersebut boleh dikatakan yang terindah sekali. Pihak Adam menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas dengan sembilan dulang dari pihak Yuna. Pasangan ini telah dinikahkah oleh Ustaz Azmi dari Majlis Agama Bentong Pahang dan berwalikan bapa Yuna, Datuk Mat Zarai'ai Alias.
Ketika ditemui di sesi sidang media yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Sabtu, 27 Januari, Yuna menolak dakwaan yang mana dirinya mahu merahsiakan majlis pernikahannya. Baginya, dia tiada niat untuk merahsiakannya kerana ia sememangnya berjalan secara tertutup dengan dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat sahaja.
"Tidak sekali mahu berahsia kerana kami sudah pun merancang mengundang jemputan ke majlis resepsi kami esok (28 Januari). Mereka yang mengenali saya sejak mula bergiat dalam arena muzik tahu yang mana saya seorang yang cukup bersifat peribadi dan semestinya hari bersejarah ini saya ingin ia berlangsung dalam suasana yang penuh intimasi," kata Yuna.
Pabila ditanya adakah Yuna akan membawa Adam menetap di Los Angeles kerana umum tahu yang kini dia berasas di sana, Yuna menjawab "Selama dua tahun kami berhubungan jarak jauh dan kami sudah biasa dengannya, akhirnya saya dapat membawanya ke Los Angeles dan semestinya dapat bersamanya setiap masa selepas ini."
Tambah Adam, "Saya rasa dua benda yang paling penting dalam hubungan kami sebelum ini adalah Skype dan What's App call. Dengannya, kami agak mudah untuk berhubung, jadi kini dan akan datang kami akan secara fizikal sentiasa ada bersama antara satu sama lain, InshaAllah."
"Saya merancang untuk menetap di Los Angeles, obviously sebab kerja. That is where I am based now. Tetapi bagi saya, saya masih ada keluarga di Malaysia. Jadi, sudah pastinya saya tidak akan tinggal di LA selamanya, sampai satu masa nanti pasti saya akan mahu kembali ke tanah air. Kita lihat nanti," jelas Yuna lagi.
Menyentuh soal perancangan untuk mempunyai zuriat, Yuna menyatakan yang dia mahu ia terjadi secara semula jadi. Katanya sudah pasti dia mahukan anak, tetapi biarlah ia berlaku naturally.
Yuna dalam perancangan untuk mengeluarkan album terbaru yang dijangka bakal keluar pada bulan Jun atau Julai depan selepas sambutan Aidilfitri. Berikutan itu, Yuna bakal mengikuti jelajah di sekitar Amerika Syarikat, Eropah serta Asia.
Ditanya kepada Adam adakah dia bersedia untuk mendapat perhatian ramai selepas ini kerana kini dia sudah bergelar suami kepada penyanyi terkenal dunia dan di Malaysia, pengarah komersial ini menjawab "Saya rasa sebelum ini ketika abang dan kakak saya mula popular, saya juga mendapat tempias perhatian yang sama. 'Eh, adik Ashraf!' Jadi saya sedar yang 'someone get attention from others too and there's reasons why.' I think I understood that and that's going to help me in the relationship. Saya tidak akan terkejut sangat dengan perkara ini."