Mungkin ramai yang tertanya siapakah penyanyi lagu Cincin Di Jari yang menjadi lagu pilihan buat mini siri Inspirasi Cinta. EH! secara eksklusif mewawancara penyanyi dari Singapura ini untuk anda kenalinya dengan lebih dekat.
Jamiel Said atau nama penuhnya Muhammad Jamiel Bin Mohd Said merupakan seorang penyanyi dan penggubah lagu yang sebenarnya sudah agak lama berkecimpung di dalam dunia seni muzik sejak berusia 15 tahun lagi.
Sebelum terkenal dengan lagunya yang berjudul Cincin Di Jari yang mana turut menjadi lagu tema di dalam drama Kekasih Paksa Rela, Jamiel turut pernah menyumbangkan lagu bertajuk Percaya untuk Nawhki dan Didi Astillah yang pernah berada di tangga nombor satu di Carta Hot FM.
Graduan Singapore Management University ini memilih untuk menceburi bidang nyanyian sesudah dia tamat dari kuliah. Single pertamanya yang berjudul Nafasku pernah menjadi sebuah 'featured song' di dalam filem Manisnya Cinta di Cappadocia yang dibintangi oleh Lisa Surihani, Fazura dan Shaheizy Sam.
Sejurus itu, Jamiel tampil dengan lagu Cincin Di Jari, sekuel kepada lagu Nafasku. Lagu yang diberi nafas balada itu menceritakan tentang seseorang yang mencari cinta sejati.
https://www.youtube.com/watch?v=lUK63EpyZH0
Lagu yang dicipta dan dinyanyikan sendiri oleh Jamiel itu sebenarnya merupakan lagu yang dihasilkan khas darinya buat isterinya yang tercinta sempena hari perkahwinan mereka. Pada masa yang sama, Jamiel turut berharap yang mana lagu itu dapat menjadi 'wedding song' buat mereka yang ingin mendirikan rumah tangga.
Disebabkan itu, pihak produksi Inspirasi Cinta dari Blu Inc Media memilih untuk menjadikan lagu Cincin Di Jari sebagai salah satu lagu dalam mini siri Inspirasi Cinta yang dibintangi Miller Khan dan Ain Edruce.
https://www.youtube.com/watch?v=RSb7q2nTRVs
Ikuti temubual eksklusif EH! bersama Jamiel Said di bawah.