Penyanyi Bunga Citra Lestari mengundang kritikan baru-baru ini apabila melakukan sendiri ujian saringan Covid terhadap rakannya, Vidi Aldiano tanpa bantuan petugas kesihatan.
Menurut laporan Lifestyle.okezone, Bunga tidak mempunyai kelayakan sebagai petugas kesihatan untuk melakukan sendiri ujian tersebut. Menjawab isu itu, seorang doktor bernama Muhammad Fajri Adda’i tampil menjelaskan ujian saringan tersebut seharusnya dilakukan dengan berhati-hati untuk mencegah daripada masalah serius.
“Dalam hidung kita ada bahagian yang dinamakan sebagai konka media. Kalau kita sembarangan menjolok, bimbang akan berlaku pendarahan dan jangkitan,” katanya.
Jelas doktor tersebut, jangkitan boleh berlaku sekiranya seseorang itu tidak memahami cara yang betul melakukan ujian saringan tanpa bantuan pihak yang mempunyai kelayakan atau pengalaman dalam bidang kesihatan.
Sebelum ini, isteri kepada pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair itu meletakkan syarat bahawa sesiapa yang ingin bertemu dengannya perlu melalui proses ujian saringan yang dilakukannya sendiri.
Foto: Getty Images/Sumber: Mstar.com.my